Karpet 'custom' eksklusif The Rug Cartel pelengkap dekorasi, penyeri kediaman dengan sentuhan peribadi


  • Hias
  • Khamis, 25 Sep 2025

Karpet lembut bertekstur moden mampu menyerlahkan suasana hangat dan elegan dalam ruang kediaman.

HIASAN dalaman bukan sekadar memilih perabot moden atau mengecat dinding dengan warna baharu.

Ada elemen penting yang sering kali terpinggir, tetapi mampu mengubah suasana ruang kediaman dengan begitu dramatik iaitu karpet.

Bagi dua beradik pengasas The Rug Cartel, Kamil Hafiz Mohd Saharuddin, 25, dan Ahmad Faiz Mohd Saharuddin, 28, karpet bukan sahaja melengkapkan dekorasi, malah menjadikan sesebuah rumah benar-benar mencerminkan jiwa pemiliknya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kisah Putera Iman tarik perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, yuran pengajian di UUM ditanggung penuh, Program Sulung jadi sinar harapan

BACA LAGI: [VIDEO] Tangan 'berseni' Kazuki Nakajima terjemah emosi, karya agung Van Gogh dalam gubahan bunga

Segalanya bermula ketika pandemik Covid-19, saat ramai pemilik rumah mencari cara untuk menambah seri ruang kediaman mereka.

Kamil yang pada waktu itu sibuk menghias biliknya, menyedari betapa sukar untuk mendapatkan karpet custom yang menepati cita rasa peribadi.

Dari situlah tercetusnya idea menghasilkan karpet pertama yang akhirnya berkembang menjadi jenama The Rug Cartel.

"Saya cari di pasaran, memang tak ada. Jadi saya cuba buat sendiri (carpet custom). Dari situlah bermulanya The Rug Cartel," kongsi Kamil kepada Majoriti.

Bagi mereka, karpet adalah karya seni unik, bukan produk 'mass production'.

Ia mempunyai nilai sentimental kerana setiap rekaan hanya dimiliki oleh seorang pelanggan sahaja.

"Karpet custom ini membuatkan rumah kelihatan lebih eksklusif dan pemiliknya akan rasa ruang itu benar-benar milik mereka," kata Faiz.

Kesukaran mendapatkan karpet menepati cita rasa peribadi mendorong dua beradik ini, Kamil (kiri) dan Faiz (kanan) membina bisnes The Rug Cartel.

Setiap tempahan bermula dengan pemahaman mendalam terhadap gaya rumah pelanggan.

Sama ada tema Scandinavian yang ringkas, minimalist moden atau Islamic kontemporari, setiap karpet direka agar serasi dengan suasana keseluruhan ruang.

Warna pula menjadi kunci iaitu pilihan earth tone yang lembut boleh menjadikan ruang lebih luas, manakala warna berani seperti biru mampu mencipta identiti tersendiri.

Material juga memainkan peranan penting kerana tekstur yang betul mampu memberikan kehangatan dan keselesaan, selain mengimbangi fungsi serta estetika ruang.

Antara koleksi pameran model karpet yang dihasilkan oleh The Rug Cartel.

Tidak keterlaluan jika dikatakan karpet adalah centerpiece dalam dekorasi.

Pernah suatu ketika, The Rug Cartel diminta menukar lukisan seorang pelanggan menjadi karpet bersaiz besar untuk digantung di dinding.

Projek tersebut membuktikan karpet bukan sahaja berfungsi di lantai, tetapi juga boleh dijadikan karya seni yang menghidupkan ruang.

"Bukan mudah nak hasilkan apatah lagi menggantung karpet sebesar itu, tapi akhirnya berjaya juga dan pelanggan sangat berpuas hati," kata Kamil.

Bagi mereka, cabaran terbesar ialah meyakinkan pelanggan bahawa karpet custom bernilai untuk dimiliki.

Harga yang lebih tinggi berbanding karpet biasa membuatkan pelanggan perlu percaya pada kualiti serta keunikan yang ditawarkan.

Selepas tiga tahun bertapak, The Rug Cartel sudah mendapat kepercayaan bukan sahaja daripada individu tetapi juga jenama besar seperti Yamaha, Adidas, Malaysia Airlines dan pereka kasut terkenal, Christie Ng.

Meskipun kini sudah menembusi pasaran Singapura dan Indonesia, mereka masih memberi fokus utama untuk mengukuhkan jenama di Malaysia.

"Visi kami, dalam 10 tahun akan datang, The Rug Cartel akan jadi household brand di negara ini dan seterusnya ke pasaran antarabangsa," ujar Faiz dan Kamil penuh keyakinan.

Pelanggan boleh memilih dan merasai sendiri 'material' yang digunakan oleh The Rug Cartel untuk membuat karpet custom.

Bagi Kamil dan Faiz, karpet bukan sekadar alas lantai tetapi jiwa yang melengkapkan ruang. Tanpa karpet, sesebuah rumah terasa kosong dan tidak bernyawa. Dengan pilihan warna, material dan tema yang tepat, karpet mampu menjadikan ruang lebih luas, mewah dan eksklusif.

"The Rug Cartel mahu setiap pelanggan merasakan karpet mereka bukan sekadar hiasan, tetapi karya seni peribadi yang melambangkan siapa diri mereka," kata Kamil.

Akhirnya, karpet custom ini bukan sekadar perabot tambahan, tetapi titik fokus yang menjadikan rumah terasa lebih hangat, selesa dan benar-benar mencerminkan jiwa pemiliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram