Pereka Soddiqin kongsi kisah nama atas gaun putih puteri sulung Liza Hanim, ambil masa 4 hari untuk disiapkan


  • Gaya
  • Khamis, 25 Sep 2025

Marsya (kiri) menggayakan gaun 'tribute' rekaan Soddiqin ketika mempersembahkan lagu Terlalu Istimewa pada program TTMM Ahad lalu.

BUSANA di pentas hiburan tidak lagi dilihat semata-mata sebagai pakaian persembahan.

Ada kalanya ia dijadikan simbol penghormatan, kenangan atau mesej sosial yang dekat di hati khalayak.

Melalui sentuhan kreatif pereka fesyen dan keberanian artis yang menggayakannya, pakaian mampu berubah menjadi medium untuk memperjuangkan cerita serta suara mereka yang tidak lagi dapat bersuara.

BACA LAGI: Anggap anak demam biasa, rupanya alami sepsis 'pembunuh' senyap, perhati tanda-tanda awal ini

BACA LAGI: Nyanyian penuh penghayatan 'pikat' hati juri, Yazmin Aziz juara episod pertama Silk Way Star di Kazakhstan

Itulah yang terserlah dalam penampilan puteri sulung penyanyi, Liza Hanim iaitu Marsya Qistina, 22, di minggu kelima program Talk To My Manager (TTMM) Ahad lalu.

Marsya tampil menggayakan gaun dengan layah sepanjang 11 meter ketika menyanyikan lagu Terlalu Istimewa, sekali gus menjadikan persembahannya lebih menyentuh hati.

Menurut Liza Hanim atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abd Halim, 46, gaun tersebut adalah usaha anaknya untuk memberi penghormatan kepada mereka yang telah pergi akibat tragedi yang berlaku di dalam negara.

"Ramai bertanya tentang dress Marsya. Nama-nama yang tertulis adalah 'tribute' Marsya buat kanak-kanak dan remaja yang telah pergi kerana keganasan domestik, rusuhan, buli, kemalangan dan pelbagai kes jenayah yang berlaku di dalam negara.

"Kita perlu terus mengingati mereka dan bertekad untuk tidak membenarkan ia berulang lagi," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Rekaan itu direalisasikan oleh pereka fesyen muda, Muhammad Soddiqin Shazulee Jainol Abidin (Soddiqin), 27, yang bertanggungjawab menghasilkan busana berkenaan.

Menurut Soddiqin konsep tribute pada gaun digayakan Marsya adalah untuk menyuarakan mesej nilai kemanusiaan di atas pentas nyanyian.

Menurut lelaki dari Pulau Pinang itu, idea asal datang daripada Marsya sendiri sebelum beliau mengolahnya kepada bentuk rekaan yang sesuai dengan konsep persembahan minggu tersebut.

"Ilhamnya daripada pihak Marsya. Beliau mahu menyuarakan mesej yang lebih besar melalui pentas ini, lalu saya olah idea itu kepada bentuk rekaan fesyen.

"Dengan masa yang singkat, kami putuskan untuk menggunakan glitter dan cat bagi menonjolkan nama-nama tersebut,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Berkongsi lanjut, Soddiqin yang juga pengasas label ShazNash berkata, proses menyiapkan busana berkenaan mengambil masa empat hari sahaja termasuk satu sesi fitting, manakala cabaran utama yang dihadapinya adalah kekangan masa.

"Fabrik asal sepatutnya daripada kain nett dan nama-nama itu ingin disulamkan, tetapi masa yang sangat terhad menyebabkan kami pilih kaedah glitter dan cat.

"Alhamdulillah, semua dipermudahkan," jelas lulusan Diploma Perniagaan Antarabangsa daripada Politeknik Melaka itu.

Beliau turut memaklumkan belum menerima sebarang maklum balas daripada keluarga mangsa yang namanya dipaparkan pada busana berkenaan.

Antara nama yang dilihat pada rekaan itu ialah Zulfarhan Osman, Zara Qairina, Nurly Sahirah dan Nurul Fatihah.

"Setakat ini dari pihak saya belum terima apa-apa reaksi daripada keluarga mangsa terlibat, mungkin sebab saya hanya orang di balik tabir. Mungkin pihak Kak Liza dan Marsya ada. Apa pun, saya harap keluarga mangsa mengambilnya secara positif," ujarnya.

Bagi anak kelima daripada tujuh beradik tersebut, beliau bersetuju bahawa fesyen kini bukan sekadar gaya semata-mata tetapi boleh dijadikan medium untuk memperjuangkan isu sosial.

“Ya, fesyen pada zaman ini memberi impak yang besar dan sangat mudah menarik perhatian orang ramai. Jadi, dengan medium ini ia platform yang sesuai untuk menyebarkan kesedaran,” katanya memberi contoh jenama Seth & Luna baru-baru ini yang mengangkat isu melibatkan negara 'tembikai' pada pentas Minggu Fesyen Mercedes-Benz Kuala Lumpur (MBKLFW).

Selain Marsya, beberapa artis tempatan lain turut pernah memilih busana sebagai medium 'tribute' dalam persembahan mereka.

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza misalnya, mencuri perhatian ketika konsert Fenomena Siti Nurhaliza di The Star Theatre, Singapura pada Jun tahun lalu apabila mengenakan busana hitam putih rekaan Fiziwoo.

Pada persalinan itu tertera beberapa kata penghormatan, antaranya 'Mohanad For You Are The Bridge of Hope', 'Afwa Al Afiyah For You Are Pillar of Strength and Future of Hundred Souls' serta 'Khalid, You Are My Light'.

Busana tersebut ditujukan kepada insan penting dalam misinya di sebuah negara bergolak selain memperingati kehilangan serta pengorbanan yang pernah dilalui masyarakat di sana.

Dalam itu, pelakon dan usahawan, Nur Fazura pula pernah tampil menggayakan jubah khas rekaan Zaimi Zulkafli yang didedikasikan buat arwah bapanya pada Ogos lalu.

Lebih menyentuh hati, wajah bapanya turut dicetak pada bahagian belakang busana tersebut, menjadikannya simbol kekuatan, kebaikan dan keberanian yang sentiasa diingatinya.

Penyanyi Aina Abdul juga menggunakan busana sebagai medium ekspresi ketika mempersembahkan lagu Puas Sudah di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Pakaian rekaan Melinda Looi yang menampilkan corak mata dan bibir membawa simbolik suara wanita yang tersakiti dengan Aina sendiri menjadi wakil untuk melontarkan perasaan mereka di pentas berprestij itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram