
SEBUAH lubang benam gergasi sedalam lebih 50 meter terbentuk secara tiba-tiba berhampiran Hospital Vajira di Bangkok awal pagi Rabu, 'menelan' beberapa buah kenderaan dan tiang elektrik.
Insiden tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya serta penduduk sekitar.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan itu turut menyebabkan kerosakan besar pada sistem paip dan elektrik, apabila air mengalir deras dari paip pecah, manakala kabel elektrik yang terputus menghasilkan percikan api berbahaya.
BACA LAGI: 'Kami tahu penyokong kecewa’, bek Selangor harap aksi lawan Tampines Rovers pengubat hati fans
BACA LAGI: [VIDEO] Pastikan MyKad berfungsi untuk nikmati subsidi petrol — Saifuddin Nasution
Lubang tersebut yang dianggarkan berkeluasan sekitar 900 meter persegi, muncul di Jalan Samsen, sebuah kawasan bersejarah di ibu negara Thailand.
Susulan itu, pihak berkuasa bandaraya Bangkok segera menutup jalan-jalan utama berhampiran lokasi kejadian bagi mengelakkan risiko kecederaan.
Menurut kenyataan dari National News Bureau of Thailand (NBT), setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun lubang benam itu dikesan terus membesar mendorong pihak berkuasa mengarahkan pemindahan pesakit hospital serta penduduk pangsapuri berhampiran demi keselamatan.
“Pasukan kecemasan dan jurutera kini berada di lokasi bagi menstabilkan kawasan dan mengelakkan kerosakan lanjut,” kata NBT dalam satu kenyataan rasmi.
Sebuah stesen utiliti berdekatan turut ditutup berikutan risiko terhadap infrastruktur serta keselamatan orang awam.
Spekulasi awal mengaitkan kejadian tersebut dengan kerja-kerja penggalian untuk projek laluan tren elektrik bawah tanah yang sedang dijalankan tidak jauh dari lokasi kejadian.
Namun, pihak berkuasa belum mengesahkan punca sebenar.
Sementara itu, Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, bersama timbalannya, Prof Madya Wisanu Subsompon, Pengarah Daerah Dusit, Ketua Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, wakil Hospital Vajira serta agensi berkaitan meninjau lokasi kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram