
GELOMBANG demonstrasi rakyat yang mengkritik prestasi serta dasar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Indonesia kini memasuki fasa baharu yang lebih agresif.
Rasa tidak puas hati rakyat tidak hanya tertumpu kepada bangunan Parlimen, malah turut menyasarkan kediaman peribadi wakil rakyat, termasuk rumah ahli politik Ahmad Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Sabtu.
Difahamkan, sekumpulan penunjuk perasaan dilaporkan menyerbu dan memecah masuk kediaman Sahroni dan insiden kemudiannya menjadi tular di seluru dunia.
BACA LAGI: [VIDEO] Uya Kuya mohon maaf berjoget dalam Parlimen, perjelas sebab sebenar tarian
Insiden tersebut disiarkan secara langsung di media sosial TikTok oleh akaun @cukupsatu_se**manya dan ditonton lebih 1.5 juta penonton.
Rakaman secara langsung kejadian sama turut disiarkan melalui saluran YouTube oleh Bang Robzz dan Baron Animasi.
Video yang tular menunjukkan orang ramai menggeledah kediaman tersebut dan berasak-asak membawa keluar pelbagai barangan berharga seperti peralatan elektronik dan perabot rumah.
Malah koleksi figura aksi termasuk patung Iron Man yang dianggarkan bernilai kira-kira RM120,000 turut diambil.
Menurut pemilik akaun siaran langsung berkenaan, pagar rumah Sahroni dilaporkan musnah, namun tiada insiden kebakaran berlaku.
Serangan terhadap kediaman tersebut dipercayai berpunca daripada rasa marah rakyat terhadap Sahroni susulan kenyataannya yang mengundang kontroversi.
Sebelum ini, Sahroni mencetuskan kemarahan umum apabila menggelar cadangan pembubaran DPR sebagai 'orang tolol sedunia'.
Walaupun Sahroni kemudiannya membuat penjelasan, kenyataan tersebut sudah pun mencetuskan kekecewaan ramai pihak.
Ahmad Sahroni: Hanya Orang Tolol yang Ingin Membubarkan DPR pic.twitter.com/JUh0xzfyD9
— tempo.co (@tempodotco) August 25, 2025
Kejadian pecah masuk dan rompakan itu membawa implikasi undang-undang yang serius
Berdasarkan Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) di Indonesia, tindakan seperti itu dianggap sebagai jenayah pencurian, sama ada di bawah Seksyen 362 KUHP (pencurian biasa) atau Seksyen 363 KUHP (pencurian berat).
Hukuman boleh menjadi lebih berat jika jenayah dilakukan dalam keadaan darurat seperti bencana atau rusuhan, dengan ancaman penjara sehingga tujuh tahun.
Namun, undang-undang turut mengiktiraf konsep 'keadaan darurat' atau noodtoestand sebagai alasan pembelaan, iaitu seseorang boleh melakukan perbuatan melanggar undang-undang untuk menyelamatkan nyawa atau mempertahankan diri.
Walau bagaimanapun, tindakan itu mestilah dilakukan secara wajar dan tidak melebihi keperluan keadaan.
Dalam apa jua situasi, undang-undang tetap menjamin perlindungan terhadap mangsa rompakan dan pecah masuk. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram