Suami isteri kena racun dukun palsu, 11 mangsa terkorban ditipu wang ‘beranak’


  • Benua
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Pasangan suami isteri itu ditemukan maut di atas timbunan batu pecah di Pemalang. — Agensi 

PASANGAN suami isteri dikenali sebagai Mr, 37, dan Nat, 34, ditemukan maut di atas timbunan batu pecah di Pemalang, Jawa Tengah, Indonesia selepas dipercayai diracun seorang dukun palsu yang menjalankan skim penggandaan wang.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati suspek iaitu Iskandar, 63, pernah terlibat dalam pembunuhan sembilan mangsa lain kira-kira 20 tahun lalu dengan modus operandi sama.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Tengah, Senior Komisioner Dwi Subagio, Iskandar pada awalnya berjanji membantu membayar hutang mangsa berjumlah Rp150 juta (RM43,500) sebelum memujuk mereka menjalani ritual penggandaan wang. 

BACA LAGI: [VIDEO] Bermotifkan cemburu, pengurus bank diculik, dibunuh selepas rapat dengan rakan sepejabat

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki panik diekori polis, bawa mayat isteri digilis lori guna motosikal sejauh 80km

Untuk tujuan menggandakan duit tersebut, pasangan tersebut menyerahkan Rp2.5 juta (RM750), namun janji suspek tidak pernah ditepati.

"Beberapa upacara ritual dilakukan dan mangsa membayar sejumlah wang, namun wang itu tidak pernah dikembalikan," katanya pada sidang media memetik laporan detikJateng, Rabu (20 Ogos 2025).

Apabila mangsa terus mendesak, Iskandar menawarkan satu upacara terakhir dengan meminta mereka meminum kopi yang diberikannya di lokasi terpencil pada tengah malam. 

Iskandar sudah terlibat dalam pembunuhan kira-kira 20 tahun lalu. — Agensi

Pasangan berkenaan mengikut arahan tanpa mengetahui minuman berkenaan telah dicampur racun kalium sianida.

Polis kemudian mengesahkan suspek membeli hampir 1 kilogram kalium bernilai Rp20,000 (RM5.80) bagi tujuan tersebut. 

"Suspek mengaku membeli bahan itu dan memasukkannya ke dalam kopi yang diberikan kepada mangsa," kata Dwi.

Hasil semakan rekod mendapati Iskandar merupakan pesalah berulang (recidivist) yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada 2004 kerana membunuh sembilan individu di Kabupaten Tegal. 

Dia dipenjarakan di Pulau Nusakambangan namun dibebaskan pada 2019 selepas menjalani 15 tahun hukuman.

"Sekembalinya ke kampung halaman, jiran-jiran memaklumkan suspek masih mengamalkan kegiatan sama. 

“Pada 2004, kesemua sembilan mangsa meninggal dunia," kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pemalang, AKP Johan Widodo. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram