Terlalu awal untuk sahkan wujudnya unsur buli — Ketua Polis Selangor


  • Kes
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Ahmad Irfan dilaporkan ditidurkan dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

POLIS menegaskan masih terlalu awal untuk mengaitkan insiden pelajar Tingkatan Tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor dengan sebarang unsur buli.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan tekanan emosi kepada keluarga mangsa.

BACA LAGI: 'Tapau' sampai 40 projek, warga asing tutup rezeki rakyat tempatan tawar servis ubah suai di Lembah Klang

BACA LAGI: Pelajar kritikal dakwa jadi mangsa buli disiasat, pengetua, guru kanan dan semua warden dipindah serta-merta

"Buat masa ini, pihak polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan.

"Sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai seorang pelajar, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, yang kini dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.

Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, memaklumkan bahawa keputusan imbasan CT scan menunjukkan anak saudaranya mengalami pendarahan di kedua-dua bahagian otak, rahang patah, serta kecederaan pada paru-paru.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam pada pukul 5 pagi, Selasa.

Shazeli menegaskan polis komited menyiasat kes ini secara telus di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, dan sedang giat mengumpul keterangan saksi serta bukti berkaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram