[VIDEO] 'Kepala bayi putus dan jatuh ke lantai', ahli keluarga bongkar kejadian tragis keluarga malang di Tapanuli


  • Benua
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Ibu mangsa (kiri) kini masih lagi menerima rawatan di hospital dan tidak melupakan peristiwa tragis yang menimpa anaknya itu. — Agensi

SEORANG bayi dipercayai menjadi mangsa kecuaian perubatan selepas meninggal dunia dalam keadaan kepala terpisah daripada badan ketika proses kelahiran di Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) Pinangsori di daerah Tapanuli Tengah dekat Sumatera Utara pada Isnin lalu.

Kejadian yang meruntun hati itu menjadi tular selepas seorang ahli keluarga mangsa memuat naik kisah tersebut di laman Facebook menggunakan akaun @uwiee poetrysagita.

Dalam hantaran tersebut, individu berkenaan mendakwa adiknya mengalami detik mengerikan ketika bersalin apabila bayi dilahirkan dengan kepala terputus daripada badan.

BACA LAGI : Ibu Zara Qairina tidak pernah minta sebarang kutipan derma bayar peguam, khidmat secara pro bono

BACA LAGI : [VIDEO] Bermotifkan cemburu, pengurus bank diculik, dibunuh selepas rapat dengan rakan sepejabat

“Disyaki berlaku kecuaian perubatan di PUSKESMAS Pinangsori. Badan bayi tertinggal di dalam rahim ibu,” tulisnya.

Menurutnya, adiknya diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan oleh petugas kesihatan tanpa sebarang rasa bersalah.

“Tidak adil buatmu, dek. Diperlakukan sekejam itu tanpa rasa bersalah sedikit pun. Kami pihak keluarga hanya mahu tahu kronologi sebenar kejadian.

“Kecuaian ini begitu tragis sehingga kepala bayi terputus dan jatuh ke lantai, manakala badannya masih berada di dalam rahim. Ia benar-benar di luar kewarasan akal,” katanya.

Seorang bayi (Gambar kecil)  dipercayai menjadi mangsa kecuaian perubatan selepas meninggal dunia dalam keadaan kepala terpisah daripada badan ketika proses kelahiran di PUSKESMAS. — Agensi 

Suami buat laporan polis

Suami mangsa, Irawan, berkata dia menghantar isterinya ke PUSKESMAS Pinangsori sekitar pukul 6 pagi pada hari kejadian untuk melahirkan.

Setibanya di klinik, isterinya dibawa masuk ke bilik bersalin sebelum bidan dan jururawat memulakan proses kelahiran. 

Namun, tragedi berlaku ketika seorang petugas cuba membantu mengeluarkan bayi tersebut.

“Ketika proses bersalin, seorang petugas cuba membantu mengeluarkan bayi daripada kandungan. 

"Namun secara tiba-tiba, kepala bayi terputus dan badannya masih tertinggal di dalam rahim,” katanya kepada pihak polis.

Berikutan kejadian itu, Irawan percaya isterinya menjadi mangsa kecuaian sehingga anak mereka meninggal dunia secara tragis.

“Saya percaya bidan dan jururawat yang mengendalikan kelahiran ini cuai sehingga menyebabkan bayi kami meninggal dunia dengan cara yang amat menyayat hati,” katanya.

Irawan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapanuli Tengah dan mahu kes itu disiasat secara telus.

“Kes ini telah dilaporkan kepada polis. Kami mahu perkara ini disiasat dan keadilan ditegakkan,” tegasnya.

Ketua Unit Perhubungan Awam Tapanuli Tengah, Inspektor Dariaman Saragih, mengesahkan laporan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu kini dalam siasatan Bahagian Siasatan Jenayah.

Sementara itu, Ketua Klinik Kesihatan Masyarakat Pinangsori, Achirudin Hutagalung, masih belum memberikan sebarang kenyataan walaupun dihubungi melalui panggilan telefon dan mesej.

Penjelasan Jabatan Kesihatan

Ketua Bahagian Perkhidmatan dan Kesiapsiagaan Kesihatan Daerah Tapanuli Tengah, Lisna Panjaitan, bagaimanapun menafikan dakwaan kecuaian perubatan dan tampil menjelaskan kronologi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tekanan darah ibu bayi itu tinggi iaitu 160/80 mmHg. Petugas kesihatan kemudian memberi ubat bagi menurunkan tekanan darah pesakit.

Lisna berkata, pemeriksaan denyut jantung bayi dilakukan sebanyak empat kali dan hasilnya menunjukkan bayi telah meninggal dunia dalam kandungan sebelum proses kelahiran dijalankan.

“Petugas kami sebenarnya menyarankan agar ibu tersebut dirujuk ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Pandan untuk rawatan lanjut, namun keluarga menolak cadangan tersebut walaupun sudah disarankan sebanyak empat kali,” katanya.

Lisna memaklumkan pihak klinik tidak memaklumkan kepada ibu atau keluarga bahawa bayi telah meninggal dunia kerana bimbang keadaan mereka bertambah panik.

“Petugas kami hanya menjelaskan bahawa jika bersalin di klinik, kami hanya boleh mengutamakan keselamatan ibu mengikut prosedur bersalin normal,” katanya.

Irawan (kiri) kesal tindakan bidan dan jururawat yang mengendalikan kelahiran anaknya yang cuai sehingga menyebabkan bayi tersebut meninggal dunia dengan cara yang amat menyayat hati. — Agensi 

Proses bersalin sukar dan risiko tinggi

Lisna berkata, keadaan ibu semakin lemah dan tidak mampu meneran ketika bersalin, menyebabkan bidan cuba membantu dengan menekan perut sambil seorang lagi menarik kepala bayi.

Namun, bahu bayi tersekat di saluran kelahiran selain berat bayi sekitar 4.2 kilogram menyukarkan proses tersebut.

“Secara teori, bayi yang meninggal dalam kandungan mempunyai tulang lebih rapuh dan disebabkan itu, ketika bidan menarik, kepala bayi terputus,” jelasnya.

Menurut Lisna, tindakan itu dilakukan selepas keluarga menandatangani surat persetujuan risiko.

“Selepas kepala bayi terputus, doktor segera menjalankan rawatan untuk menyelamatkan ibu dan proses kelahiran selesai. Ibu dibenarkan pulang selepas rawatan,” katanya.

Lisna menegaskan tindakan petugas adalah mengikut prosedur dan berpandukan surat penolakan rujukan yang ditandatangani keluarga pesakit.

“Kami tidak pernah menginginkan perkara ini berlaku. Namun, dalam situasi tersebut, tindakan petugas adalah mengikut prosedur bagi menyelamatkan nyawa ibu,” katanya. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram