
SATU rancangan untuk melaksanakan konsep kubur bertingkat telah diluluskan bagi memastikan ruang pengebumian Muslim mencukupi di Lembah Klang yang padat penduduk, namun pihak berkuasa mengambil pendekatan berhati-hati demi menjaga sensitiviti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
"Permintaan untuk pengebumian Muslim semakin meningkat saban tahun. Jika tiada usaha proaktif dibuat untuk memperluas atau menambah baik pengurusan tanah perkuburan, kita berisiko berdepan kekurangan tapak pengebumian dalam masa terdekat.
"Tanah perkuburan utama kini semakin menghampiri kapasiti maksimum,” katanya ketika dihubungi.
BACA LAGI: ‘Politik komang spanar’, MB dan Exco Terengganu tidak dibenarkan bersama peserta Himpunan RXZ 7.0
Mohd Na’im menambah bahawa kubur bertingkat merupakan antara resolusi yang dipersetujui pada Konvensyen Transformasi Tanah Perkuburan Islam dan Pengurusan Jenazah tahun lalu.
"Konsep kubur bertingkat bukan sesuatu yang baharu. Ia sudah dilaksanakan di negara seperti Arab Saudi, Mesir dan Singapura.
"Di Malaysia sendiri, negeri seperti Kedah dan Pulau Pinang turut mula mengamalkan pendekatan ini," katanya.
Namun, beliau berkongsi bahawa pelaksanaan di Lembah Klang memerlukan penelitian mendalam daripada pihak berkuasa agama, selain meneliti aspek teknikal, melibatkan pandangan masyarakat bagi mengatasi isu sensitiviti serta menimbang faktor perundangan.
"Sebarang inovasi seperti kubur bertingkat tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh dan persediaan rapi," ujarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, satu kajian rintis sedang dijalankan di bawah seliaan agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
"Sekiranya semua kelulusan teknikal dan syariah diperoleh, fasa awal pelaksanaan dijangka bermula dalam tempoh dua hingga tiga tahun di beberapa lokasi strategik di Wilayah Persekutuan yang telah dikenal pasti," kongsinya, namun enggan mendedahkan lokasi tersebut.
Beliau berkata, latihan dan pensijilan akan diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri masing-masing.
"Ini termasuk latihan teknikal berhubung prosedur pengebumian bertingkat, kursus pengurusan jenazah dalam ruang perkuburan berstruktur, pendedahan kepada aspek keselamatan dan pematuhan syariah, serta perancangan reka bentuk tanah perkuburan moden dan sistematik," katanya.
Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti Selangor berpandangan pengebumian bertingkat dibenarkan dalam keadaan tertentu.
Jawi sedang menyelia satu kajian rintis mengenai pelaksaan kubur bertingkat di Lembah Klang.
"Ia dibolehkan apabila tanah secara mendatar tidak mencukupi, jenazah dilayan dengan penuh hormat tanpa dicemarkan, serta apabila tatacara dan adab pengebumian Islam dipatuhi.
"Beberapa negeri kini sedang meneliti perkara ini dengan teliti melalui perbincangan fatwa," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah merangka strategi lain untuk memastikan tanah perkuburan Muslim mencukupi seperti membuka kawasan perkuburan baharu di pinggir bandar, contohnya di Semenyih.
Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir ketika dihubungi berkata, pihak berkuasa agama Selangor telah mewartakan fatwa pada 2004 yang membenarkan penggunaan kubur bertingkat di negeri itu.
"Namun, kubur bertingkat masih belum dilaksanakan di Selangor. Perkara ini masih dalam perbincangan," katanya.
Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ketika ini terdapat 23 tapak perkuburan Muslim di Kuala Lumpur, dengan 15 daripadanya masih mempunyai lot kosong.
Lapan tanah perkuburan telah pun penuh sepenuhnya.
Bagi tanah perkuburan di Putrajaya, Mohd Uzir berkata, kajian kes mendapati jumlah kubur yang ada mencukupi untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau memberitahu kawasan berkenaan, yang terletak di Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya, menempatkan tanah perkuburan bagi Muslim, Buddha, Hindu dan Kristian.
Fasa 2 tanah perkuburan itu dijangka siap menjelang pertengahan 2028 melibatkan keluasan 5.42 hektar, manakala jumlah keseluruhan tanah di kawasan tersebut ialah 41.68 hektar. — The Star/ZAKIAH KOYA dan GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram