[VIDEO] Panik bubur bayi ada serbuk besi, pakar sahkan selamat dimakan


  • Sihat
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Fortifikasi zat besi adalah amalan biasa dalam produk makanan, sama seperti minyak masak yang difortifikasi dengan vitamin A. — Agensi

PEMAKANAN seimbang dengan kandungan nutrien lengkap amat penting untuk tumbesaran bayi.

Atas faktor itu, kebanyakan produk makanan bayi difortifikasi dengan pelbagai vitamin dan mineral, termasuk zat besi yang berperanan dalam pembentukan sel darah merah serta perkembangan otak.

Namun, baru-baru ini timbul kekeliruan selepas tular sebuah video di media sosial yang mendakwa bubur bayi tercemar dengan serbuk besi berbahaya.

BACA LAGI: Cipta idea Folder ‘In Case Mati’, lelaki ajar cara permudahkan urusan waris

BACA LAGI: Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli

Video berkenaan menunjukkan eksperimen menggunakan magnet, di mana kelihatan serbuk hitam pada salah satu produk bubur import dari Amerika Syarikat seolah-olah boleh ditarik seperti logam.

Tularan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi warga maya termasuk Malaysia dan Indonesia sekali gus mengaitkannya dengan keselamatan bayi.

Fortifikasi zat besi

 

 

 

Hasil penelitian lanjut mendapati, isu sama pernah tular sejak 2021.

Pihak pengeluar produk terbabit sebelum ini sudah menjelaskan bahawa serbuk hitam tersebut adalah nutrient iron atau zat besi tambahan yang digunakan untuk tujuan fortifikasi makanan.

“Kami menambah vitamin dan mineral penting termasuk zat besi untuk menyokong pertumbuhan bayi yang sihat. Semua nutrien ini diluluskan dan selamat digunakan menurut piawaian FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat),” jelas syarikat itu.

Pada label produk juga dinyatakan kandungan zat besi dalam bentuk electrolytic iron sebagai bahan tambahan.

Penjelasan pakar pemakanan

Mengulas isu tersebut, Profesor Teknologi Pangan dari Institut Pertanian Bogor (IPB), Inonesia, Prof Nuri Andarwulan mengesahkan bahawa serbuk berkenaan memang merupakan zat besi yang digunakan khusus untuk fortifikasi makanan bayi.

“Ia selamat dimakan dan kuantiti yang digunakan mematuhi syarat kualiti serta keselamatan makanan yang sangat ketat,” katanya ketika dihubungi media.

Menurut beliau, fortifikasi zat besi adalah amalan biasa dalam produk makanan, sama seperti minyak masak yang difortifikasi dengan vitamin A.

Malah, bagi makanan bayi, setiap nutrien makro dan mikro wajib mematuhi piawaian ketat sebelum boleh dipasarkan.

Antara bentuk zat besi yang lazim digunakan termasuk ferrous sulfate, ferrous fumarate, ferric pyrophosphate serta electrolytic iron.

Prof Nuri turut mengingatkan agar orang ramai tidak mudah percaya kepada eksperimen video yang disensasikan tanpa pengetahuan saintifik.

“Itu hanyalah content creator yang tidak memahami fakta nutrisi. Boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat,” tegasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram