Dua rakyat Malaysia jadi dalang sindiket pekerja asing ditahan di Kalimantan


  • Benua
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Dua lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Imigresen Nunukan selepas disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup empat calon pekerja migran Indonesia

DUA lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Imigresen Nunukan selepas disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup empat calon pekerja migran Indonesia (PMI) secara haram ke Sabah, bulan lalu.

Suspek berusia 30 dan 39 tahun itu masing-masing dikenali sebagai SN dan SA, berasal dari Kampung Kalabakan, Tawau, Sabah. 

Mereka diberkas pada 14 Julai lalu selepas didapati memasuki wilayah Indonesia tanpa dokumen perjalanan dan visa sah.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Lebuh raya di Malaysia tiada lorong laju, hanya laluan memotong', nahas di Kesas patut jadi iktibar

BACA LAGI : Wanita warga asing tarik tudung, serang pegawai Imigresen di KLIA, KPISM tuntut tindakan tegas tanpa kompromi

Ketua Imigresen Nunukan, Adrian Soetrisno, berkata hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya berperanan menjemput empat PMI terbabit untuk dibawa secara tidak sah ke Malaysia.

“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang imigresen, malah boleh mendedahkan pekerja migran kepada risiko jenayah pemerdagangan orang,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Berikutan penahanan itu, kedua-dua suspek ditahan di Penjara Kelas II B Nunukan bagi membantu siasatan lanjut.

Adrian berkata, berdasarkan keterangan saksi dan barang bukti, pihaknya mempunyai asas kukuh untuk mendakwa kedua-dua suspek mengikut Seksyen 119(1) dan/atau Seksyen 113 Akta Imigresen No. 6 Tahun 2011.

Seksyen 119(1) memperuntukkan kewajipan warga asing di Indonesia mempunyai penjamin, manakala Seksyen 113 membolehkan tindakan pentadbiran imigresen diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan, termasuk pengusiran.

“Imigresen Nunukan akan terus memperkukuh kawalan di sempadan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen. Usaha ini bukan sahaja memberi pengajaran, malah penting untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara,” tegasnya.

Sebelum ini, Pasukan Tugas Pengaman Sempadan (Satgas Pamtas) Yonarmed 11 Kostrad bersama Pasukan Risikan Gabungan (SGI) menahan enam individu di Dermaga Sei Ular, Kalimantan Utara pada hari kejadian.

Daripada jumlah itu, dua daripadanya adalah warga Malaysia iaitu SN dan SA, manakala empat lagi adalah PMI tanpa dokumen sah. 

Empat pekerja migran terbabit kemudiannya diserahkan kepada Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI) Nunukan, manakala dua warga Malaysia berkenaan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram