
RAKAMAN insiden mercun tersasar yang mencederakan penonton di Stadium LaVell Edwards, Universiti Brigham Young, Utah, Amerika Syarikat tahun lepas, sekali lagi mencuri perhatian selepas video kejadian itu kembali tular di platform X sejak Khamis.
Video yang dimuat naik oleh akaun X, Crime Net berkenaan membuatkan ramai warganet kembali mengimbau detik cemas sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada Julai 2024.
Ketika itu, kemeriahan persembahan Stadium of Fire bertukar kecoh apabila beberapa das mercun rosak menyimpang daripada arah asal lalu meletup di kawasan tempat duduk yang sesak dengan kira-kira 45,000 penonton.
BACA LAGI: [VIDEO] Hisap vape dalam pesawat, jurulatih selebriti Pickelball mohon maaf selepas dikecam
Menurut pihak berkuasa dan penganjur acara terbabit, insiden berkenaan menyebabkan seramai enam orang dihantar ke hospital termasuk seorang individu dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Jurucakap Festival Kebebasan, Emory Cook ketika itu memaklumkan kejadian berlaku sewaktu upacara pembukaan yang turut diserikan dengan aksi jet tentera di ruang udara.
Persembahan terpaksa dihentikan selama 15 minit bagi memberi laluan kepada pasukan perubatan memberikan rawatan kepada mangsa.
Rakaman video yang kini kembali beredar memaparkan detik mercun meluncur rendah dan meletup di tempat duduk belah timur seperti diceritakan oleh seorang saksi, Teresa Jack.
"Saya nampak roket terbang melepasi kepala saya sebelum meletup dan menghasilkan asap tebal seperti bom," katanya memetik laporan AP News pada 6 Julai 2024.
If this wasn’t caught in camera, nobody would’ve believed it pic.twitter.com/XX3SmMTrjT
— Crime Net (@TRIGGERHAPPYV1) August 14, 2025
Penonton yang panik melambaikan tangan sambil menjerit meminta persembahan dihentikan dan tindakan pantas penganjur mengarahkan semua kekal di tempat duduk serta membawa mangsa ke khemah perubatan berjaya mengelakkan rempuhan.
Pasukan bomba dan paramedik yang telah bersiap sedia di lokasi tiba kurang daripada seminit selepas kejadian.
Jurucakap Provo Fire and Rescue, Jeanie Atherton memaklumkan bahawa seorang mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulans, manakala yang lain dipercayai mendapatkan rawatan sendiri.
Selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan dan mendapat kelulusan ketua bomba Provo, persembahan yang menampilkan kumpulan terkenal Amerika Syarikat iaitu Jonas Brothers itu diteruskan.
Bunga api tersebut turut mendarat mengenai kumpulan sorak (cheerleader) semasa kejadian. — Agensi
Menurut Emory, mercun yang rosak adalah jenis kecil berbanding mercun besar untuk persembahan penutup.
Wakil Stellar Fireworks, Andrew Nguyen, menjelaskan bahawa kerosakan berpunca daripada peranti repeater yang sepatutnya melepaskan 25 das tembakan menegak, namun meletup dan menembak secara mendatar akibat ketiadaan struktur sokongan.
"Selama 40 tahun kami menganjurkan persembahan di Provo, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku," kata Nguyen.
Stadium of Fire merupakan festival muzik tahunan yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan AS. Pada edisi tahun lepas, kumpulan muzik terkenal Jonas Brothers merupakan tarikan utama festival itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram