
INSIDEN serangan mengejut terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dari sudut keselamatan, malah berisiko meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada mangsa.
Mengulas isu itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad berkata, kejadian melibatkan unsur pencerobohan fizikal secara tiba-tiba mampu menggugat rasa selamat dan kepercayaan anak kecil terhadap dunia sekeliling.
“Serangan sebegini boleh mencetuskan acute trauma. Anak mungkin mengalami ketakutan melampau, kegelisahan berpanjangan, mimpi buruk atau mengelakkan situasi yang sebelum ini dianggap selamat.
“Malah, trauma perubatan seperti jarum suntikan boleh menimbulkan kesan psikologi mendalam termasuk mencetuskan fobia dan tekanan emosi,” katanya kepada Majoriti.
Risiko PTSD jika tidak dirawat
Beliau berkata, gejala trauma yang berlanjutan melebihi sebulan sehingga menjejaskan hubungan keluarga, prestasi sekolah atau tidur boleh membawa kepada Gangguan Tekanan Pasca Trauma (PTSD).
Tahap kekasaran serangan, sifat pencerobohan serta daya tahan emosi kanak-kanak menjadi faktor penentu risiko tersebut.
Dalam pada itu, Dr Fauziah mengesyorkan beberapa kaedah rawatan berkesan termasuk:
1. Trauma-Focused Cognitive Behavioral Therapy (TF-CBT)
Dr Fauziah berkata, TF-CBT merupakan terapi khusus untuk kanak-kanak selepas kejadian trauma.
Ia melibatkan tahapan seperti stabilisasi, naratif trauma dan integrasi yang berkesan dalam mengurangkan simptom PTSD.
2. Terapi CBT umum
Dr Fauziah berkata, terapi CBT boleh membantu mengubah corak pemikiran dan reaksi terhadap ingatan trauma.
3. Pendekatan Trauma-Informed Care (TIC)
Pendekatan holistik yang memberi tumpuan kepada rasa selamat, kepercayaan, pilihan dan penglibatan positif dalam hubungan terapeutik.
Pendekatan itu sangat penting agar kanak-kanak tidak merasa dipersalahkan, tetapi diberi ruang untuk sembuh dengan rasa hormat dan empati.
4. Intervensi mindfulness dan relaksasi
Dr Fauziah berkata, meditasi dan pernafasan berpandu terbukti membantu mengurangkan simptom trauma seperti insomnia, kesedihan dan kecemasan dalam jangka pendek dan panjang.
5. Sokongan keluarga
Dr Fauziah berkata, kasih, pengesahan emosi dan persekitaran stabil sangat penting agar anak rasa dilindungi dan boleh mula percaya semula terhadap dunia luar.
Bila perlu dapatkan bantuan profesional?
Dr Fauziah berkata, dalam tempoh awal selepas kejadian, utamakan keselamatan dan sokongan emosi.
"Namun, jika gejala berlarutan beberapa minggu, penilaian oleh pakar kesihatan mental kanak-kanak adalah perlu,” katanya.
Sebelum ini, isteri Rafizi bersama anak mereka baru sahaja memasuki ke kereta sebelum seorang lelaki tidak dikenali mengheret dan mencucuk kanak-kanak itu dengan jarum suntikan pada Rabu.
Siasatan awal mendapati dua lelaki bermotosikal dikesan mengekori kenderaan isteri beliau sebelum melaksanakan serangan.
Kes itu kini disiasat polis termasuk mengenal pasti motif sebenar serangan yang mensasarkan anak kepada seorang tokoh politik negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram