[VIDEO] 'Bapa salah', ayah tentera Indonesia tak mampu tahan marah lepas anak meninggal dunia akibat dibuli


  • Benua
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Bapa mendiang gagal mengawal emosi ketika mayat anaknya diusung selepas meninggal dunia di hospital.

KES buli sehingga mengakibatkan kematian sememangnya sudah kerap didengari berlaku dalam negara meskipun terdapat pelbagai usaha mengelak hal sebegitu berlaku.

Namun, hal sebaliknya pula terjadi apabila kes sedemikian berulang saban tahun dengan semakin ramai mangsa tidak bersalah mengalami nasib sama sementara pembuli terus bebas.

Lebih menyedihkan lagi, insiden buli sehingga meragut nyawa tidak bersalah turut berlaku di negara jiran apabila seorang anggota tentera Indonesia meninggal dunia selepas difahamkan dianiaya anggota lebih senior.

BACA LAGI: [VIDEO] Tertekan dipecat, bekas petinju punca 2 pelancong Malaysia masih kritikal dibakar hidup-hidup di Bangkok

BACA LAGI: Kalau dah jodoh, hanya sebulan kenal, warga emas nikahi wanita usia 27 tahun

Prada Lucky meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital dengan kesan lebam dikesan di tubuhnya.

Mangsa, Prada Lucky Cepril Saputra Namo bertugas di sebuah kem sekitar Nusa Tenggara Timur dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada Rabu ketika menerima rawatan di hospital.

Mendiang yang baru sahaja dua bulan menjadi ahli perajurit difahamkan dimasukkan ke hospital disebabkan kecederaan fizikal dengan laporan semasa menyatakan mangsa mengalami kesan sebatan di badan.

Perkara tersebut dikongsikan ibu kandung Prada Lucky, Sepriana Paulina Mirpey yang memohon supaya siasatan mendalam dibuat bagi mencari suspek di sebalik kematian anaknya.

Chandrawati Saragih yang merupakan pengarah di hospital di mana mendiang dirawat turut menyatakan terdapat lebam di tubuh mangsa, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Kes tersebut kemudian tersebar dengan pengguna media sosial di Indonesia menuntut bela atas kematian Prada Lucky, termasuk bapanya yang jelas berang akan insiden terbabit.

Ini kerana ketika mayat mangsa diusung ke tanah pengebumian, ayah mangsa yang juga merupakan anggota tentera menuntut agar kematian anaknya dibela dan mana-mana suspek ditahan segera.

"Jangankan (Presiden) Prabowo, dunia harus tahu. Pangkat (tentera) hanya sementara dan anda perlu tahu bahawa saya bukan gila dan saya tidak mengatakan tentera itu menjelekkan kerana saya sendiri mengangkat warna Merah Putih negara," katanya.

Ayah kepada mendiang turut berkali-kali mempersoalkan tindakan pihak ketenteraan di kem tersebut yang tidak menyatakan kematian Prada Lucky selain menyepi atas perkhabaran duka itu.

Setakat ini, empat anggota sudah ditahan sementara 20 yang lain turut disoal siasat bagi membantu siasatan dengan kes itu berada di bawah bidang kuasa polis tentera Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram