Kecoh haiwan di Zoo Bandung kelaparan, petugas diusir akibat pertukaran pengurusan


  • Benua
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Selain hilang akses masuk, pihak YMT juga mendakwa tidak dapat berkomunikasi langsung dengan mana-mana individu di dalam kawasan zoo.

KETEGANGAN antara dua pihak yang berebut kuasa pengurusan Zoo Bandung di Indonesia memberikan kesan serius terhadap kebajikan haiwan-haiwan terutamanya anak-anak binatang yang belum sempat diberi makan sejak pagi Rabu (6 Ogos 2025).

Krisis itu tercetus selepas pihak pengurusan baharu mengambil alih dan mengusir semua pekerja lama serta mengunci akses keluar-masuk ke kawasan zoo hingga proses pemberian makanan dan penjagaan haiwan terhenti serta-merta.

“Kami hanya risau satu perkara. Kami ada banyak anak haiwan yang baru lahir termasuk karnivor dan burung yang perlu diberi makan secara rutin setiap pagi,” ujar Pegawai Perhubungan Awam Zoo Bandung dari Yayasan Margasatwa Tamansari (YMT), Sulhan Safii dalam satu video yang dimuat naik di akaun X, RadioElshinta.

BACA LAGI: Kanada jatuhkan 10 tan bantuan kemanusiaan dari udara Gaza bersama 5 negara

BACA LAGI: [VIDEO] Bencana alam melanda lagi, arus lumpur deras ragut 4 nyawa di utara India

“Sehingga kini kami masih tidak tahu sama ada haiwan di situ sudah diberi makan atau belum,” tambahnya.

Menurut Sulhan, sebahagian anak haiwan itu amat bergantung kepada jadual makan yang konsisten dan jika terlewat, kesannya boleh membawa maut.

Selain hilang akses masuk, pihak YMT juga mendakwa tidak dapat berkomunikasi langsung dengan mana-mana individu di dalam kawasan zoo hingga menyebabkan mereka sukar untuk memastikan keadaan haiwan-haiwan di situ.

“Kami semua diusir keluar. Kami tak tahu apa yang sedang berlaku di dalam. Kami tadi ada minta izin untuk beri makan, terutamanya anak-anak haiwan itu. Katanya dibenarkan, tapi tak pasti sama ada itu mencukupi untuk menampung keperluan mereka,” jelasnya.

Sulhan turut memaklumkan bahawa kenderaan pembawa makanan ditahan di pintu masuk dan tidak dibenarkan masuk.

“Motor, kereta pengangkut makanan kami ditahan di pintu masuk. Kalau benar mereka ada niat nak jaga haiwan, sepatutnya sistem diperbaiki, bukannya dibuat sekatan sebegini. Haiwan seharusnya menjadi keutamaan utama,” tegasnya.

Pegawai Perhubungan Awam Zoo Bandung dari YMT, Sulhan Safii.

Pengunjung Gagal Masuk, Jualan Tiket Dalam Talian Dihentikan

Ketegangan itu juga memberi kesan kepada pengunjung selepas gerbang utama ditutup, menyebabkan ramai memilih untuk beredar.

“Ramai yang berpatah balik kerana tidak boleh masuk. Kami sendiri tidak tahu sebab sebenar penutupan ini. Buat masa ini, penjualan tiket dalam talian termasuk di Traveloka telah kami hentikan untuk mengelakkan kekeliruan,” kata Sulhan.

Situasi memuncak apabila sekumpulan penyokong pihak pengurusan lama memaksa masuk ke dalam kawasan zoo dengan merempuh pintu utama dan berlaku pergelutan dengan petugas dari pihak baharu.

Polis yang dikerahkan ke lokasi pada awalnya menghadapi kesukaran mengawal keadaan, namun ketegangan akhirnya reda selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bertenang dan menahan diri.

Menurut Sulhan, mereka kini telah diusir sepenuhnya dan tidak dapat memantau langsung sebarang urusan pengurusan haiwan.

“Ada sekumpulan orang masuk ikut pintu utama, masuk ke pejabat pengurusan, dan mengusir semua pegawai keselamatan serta kakitangan kami,” katanya kepada Kompas.com.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa terdapat anak-anak haiwan eksotik yang sangat memerlukan perhatian, namun petugas yang ditugaskan untuk memberi makanan tidak dapat masuk.

“Kami sangat risau kerana kami ada belasan anak haiwan eksotik yang baru lahir. Biasanya mereka diberi makan awal pagi, tapi petugas kami ditahan di pintu pagar,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan tindakan pengambilalihan oleh pihak baharu.

“Kalau mereka kata kami ini tidak sah, kami masih belum terima sebarang surat rasmi. Yayasan ini pun sebenarnya AHU-nya telah dibekukan, dan kini kami sedang dalam proses perbicaraan,” tambahnya.

Pihak Baharu: Haiwan Masih Selamat, Penutupan Untuk Lindungi Aset

John Sumampau.

Sementara itu, pihak pengurusan baharu yang diketuai oleh John Sumampau menegaskan bahawa penutupan zoo dilakukan sebagai langkah melindungi aset dan bukannya mengabaikan kebajikan haiwan.

“Penjagaan haiwan dan lain-lainnya semua dalam keadaan baik. Kami sudah biasa menguruskan haiwan-haiwan ini dan aspek ini merupakan keutamaan saya,” kata John.

Beliau memberi jaminan bahawa proses penjagaan tetap diteruskan dengan bantuan tenaga profesional.

Penutupan operasi tersebut juga, menurutnya selari dengan arahan daripada Kerajaan Bandaraya Bandung sebagai pemilik sah tanah zoo tersebut.

“Kami dari awal memang kooperatif dengan pihak berkuasa, terutama yang berkaitan dengan aset ini. Selepas kami diberi mandat, tugas kami adalah untuk menjaga dan memaksimumkan aset ini bagi menyumbang kepada pendapatan daerah (PAD),” jelasnya.

Konflik Berlarutan 

Konflik di Zoo Bandung bukan perkara baharu susulan sebelum ini berlaku perebutan pengurusan, status tanah, serta dakwaan penyelewengan kewangan sudah lama membelenggu institusi terbabit.

Dalam satu sesi dialog awam pada Khamis (26/6/2025), Pengerusi YMT, Gantira Bratakusuma menyatakan bahawa keluarganya akan mengambil semula pengurusan zoo secara kendiri.

Beliau turut memohon sokongan semua pihak dalam usaha menjaga haiwan-haiwan di situ.

“Saya juga merayu kepada pihak berkuasa agar bersikap adil dan tidak memihak kepada mana-mana pihak agar segala permasalahan ini dapat diselesaikan secara adil mengikut undang-undang.

“Saya dan keluarga berikrar akan meneruskan pengurusan Zoo Bandung di bawah YMT. Demi haiwan, budaya, dan masyarakat,” tambah Gantira.

Pengerusi YMT, Gantira Bratakusuma.

Beliau turut menjelaskan bahawa YMT diasaskan oleh datuknya iaitu R Ema Bratakusuma pada tahun 1957.

Zoo berkenaan sendiri telah wujud sejak tahun 1933 dan berfungsi sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, serta rekreasi masyarakat umum.

Konflik memuncak sekitar tahun 2017 apabila pengurusan sementara diserahkan kepada Tony Sumampouw dan Sri yang merupakan kenalan rapat keluarga.

Dana pengurusan sebanyak Rp 4 bilion (RM1.2 juta) turut diberikan ketika itu tetapi, masalah mula timbul termasuk isu ketelusan kewangan.

“Pada awal 2022, keluarga kami menyusun semula struktur YMT untuk memperkukuh asas pengurusan yang lebih profesional, telus, dan bertanggungjawab. Sejak itu, pelbagai isu mula timbul termasuk isu status tanah dan kebajikan haiwan,” jelas Gantira.

Beliau turut menggesa semua pihak yang tidak mempunyai hak sah ke atas zoo tersebut supaya segera berundur.

“Saya menyeru kepada semua pihak yang tidak memiliki hak ke atas Zoo Bandung agar segera meninggalkan kawasan ini. Ini milik YMT, milik orang Sunda, milik warga Bandung,” tegasnya.

Apa Kata Wali Kota Bandung

Mengulas kekecohan yang belum menemui penyelesaian, Wali Kota Bandung iaitu Muhammad Farhan menyatakan pendirian pihaknya.

“Pendirian pihak kerajaan bandaraya jelas. Kami adalah pemilik tanah dan kami akan bertindak sebagai pengadil. Jika ada pertikaian dalaman dalam yayasan, selesaikanlah. Jika tidak mampu, serahkan surat dan kibarkan bendera putih kepada pemkot, maka kami akan ambil alih,” kata Farhan, seperti dilaporkan Antara.

Beliau berharap konflik ini segera berakhir demi keselamatan semua haiwan di Zoo Bandung. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram