
ISU kekurangan makanan di Gaza, Palestin semakin meruncing dan itu sudah memaksa Kanada untuk bertindak dengan memberikan bantuan kemanusiaan.
Kanada menerusi angkatan tenteranya menjatuhkan 10 tan bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza sambil disertai lima negara lain.
Lima negara tersebut adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir, Jerman dan Belgium.
BACA LAGI: Lepas gempa bumi di Rusia, salah satu gunung berapi tertinggi dunia pula meletus
BACA LAGI: [VIDEO] Oprah Winfrey buka laluan persendirian, bantu penduduk Hawaii berlindung ancaman tsunami
Kanada turut mengecam tindakan Israel yang sengaja menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi jalan darat hingga menyebabkan pertolongan sukar sampai.
"Kanada mengambil langkah luar biasa ini bersama rakan-rakan antarabangsa kami memandangkan akses kepada bantuan kemanusiaan di Gaza sangat terhad dan keperluan kemanusiaan telah mencapai tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Walaupun keperluan sangat mendesak, rakan-rakan kemanusiaan menghadapi cabaran besar dalam menyampaikan bantuan makanan dan perubatan yang menyelamatkan nyawa melalui jalan darat disebabkan sekatan berterusan yang dikenakan oleh kerajaan Israel.
"Tindakan menghalang bantuan ini merupakan satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mesti dihentikan serta-merta," kata Menter Luar Kanada, Anita Anand dalam kenyataan bersama Menteri Pertahanan Kanada, David McGuinty.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut menegaskan negaranya sedang aktif dalam memastikan keamanan di Gaza dapat diperoleh.
Ia adalah untuk membolehkan bantuan kemanusiaan boleh disalurkan tanpa masalah ke Gaza.
"Bencana kemanusiaan di Gaza semakin meruncing. Kanada sedang memperhebat usaha bersama rakan-rakan antarabangsa untuk merangka pelan damai yang berwibawa dan akan memastikan bantuan disalurkan pada skala yang diperlukan," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram