[VIDEO] Gempa bumi kuat Rusia akibatkan tsunami di Hokkaido, Indonesia kini siap siaga


  • Benua
  • Rabu, 30 Jul 2025

Gelombang tsunami pertama dilaporkan telah melanda pulau utama utara Hokkaido.

GELOMBANG tsunami pertama dilaporkan telah melanda pulau utama utara Hokkaido, Jepun dengan ketinggian sekitar 30 sentimeter (satu kaki), menurut laporan agensi berita AFP.

Penyiar berita, NHK melaporkan bahawa gelombang tersebut telah ‘mendarat’ di pesisir Hokkaido dan memberi amaran bahawa gelombang susulan berkemungkinan jauh lebih tinggi dan berbahaya.

Sebelum ini, Agensi Cuaca Jepun mengeluarkan amaran bahawa ombak tsunami yang setinggi sehingga tiga meter dijangka melanda sepanjang pantai utara dan timur Jepun, termasuk kawasan sehingga ke Wakayama di selatan Osaka.

BACA LAGI: Sistem tol Jepun rosak selama 38 jam, lebih 24,000 pengguna lebuh raya tetap bayar semula tanpa paksaan

BACA LAGI: [VIDEO] Laos turut jadi mangsa perang Thailand-Kemboja

Dalam satu rakaman video siaran langsung, kelihatan orang ramai berlindung di atas bumbung bangunan sebagai usaha menyelamatkan diri daripada ancaman tsunami.

Pihak berkuasa tempatan turut menggesa penduduk di kawasan berisiko untuk segera berpindah ke tempat yang lebih tinggi dan mematuhi arahan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Kejadian berkenaan berlaku susulan gempa bumi kuat berukuran magnitud 8.7 menggegarkan perairan berhampiran Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia pada Rabu menyebabkan tsunami setinggi sehingga empat meter.

Ia menyebabkan kerosakkan bangunan dan menyebabkan arahan pemindahan dikeluarkan di kawasan terjejas termasuk sebahagian besar pantai timur Jepun.

Pihak berkuasa mengesahkan kejadian berlaku pada kedalaman cetek 19.3 kilometer, kira-kira 126 kilometer di timur-tenggara bandar pesisir Petropavlovsk-Kamchatsky, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Agensi berkenaan turut menaikkan bacaan magnitud daripada 8.0 kepada 8.7 setelah semakan semula.

Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov menyifatkan kejadian itu sebagai gempa bumi paling dahsyat dalam beberapa dekad.

"Gempa bumi hari ini (Rabu) amat serius dan merupakan yang paling kuat dalam sejarah gegaran tempatan sejak puluhan tahun. Sebuah tadika turut mengalami kerosakan," katanya menerusi kenyataan video di aplikasi Telegram.

Menteri Situasi Kecemasan Wilayah, Sergei Lebedev mengesahkan gelombang tsunami setinggi tiga hingga empat meter telah direkodkan di beberapa kawasan sepanjang pesisir Kamchatka.

Beliau menggesa penduduk agar segera berpindah dari kawasan pantai demi keselamatan.

Di Jepun, agensi cuaca negara berkenaan mengeluarkan amaran tsunami, menjangkakan ombak setinggi tiga meter akan melanda pantai timur bermula sekitar pukul 0100 GMT (9.00 pagi waktu Malaysia).

Stesen penyiaran NHK melaporkan bahawa arahan pemindahan telah dikeluarkan untuk beberapa kawasan berisiko tinggi, rakaman penyiar, TBS pula menunjukkan penduduk dan pekerja kilang di Hokkaido berpusu-pusu menuju ke kawasan tinggi bagi mengelakkan ancaman ombak besar.

Sementara itu, Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat turut mengeluarkan amaran berhubung ombak tsunami berbahaya yang dijangka melanda beberapa pesisir di Rusia, Jepun, Alaska dan Hawaii dalam masa tiga jam.

Amaran berjaga-jaga turut dikeluarkan bagi Guam serta pulau-pulau lain di Mikronesia.

Jabatan Pengurusan Kecemasan Honolulu pula mengarahkan pemindahan di beberapa kawasan pantai Hawaii dengan amaran keras. 

Manakala di Rusia, Gabenor Wilayah Sakhalin, Valery Limarenko memaklumkan bahawa bandar kecil Severo-Kurilsk turut diarahkan berpindah susulan ancaman tsunami dengan beberapa kecederaan turut dilaporkan selepas kejadian gempa.

Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov.

Menurut Menteri Kesihatan Wilayah iaitu Oleg Melnikov, mangsa termasuk mereka yang cedera ketika melarikan diri, seorang pesakit yang melompat dari tingkap, serta seorang wanita yang mengalami kecederaan di dalam terminal lapangan terbang baharu.

"Semua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan," katanya kepada agensi berita, TASS.

Cawangan Kamchatka bagi Perkhidmatan Geofizik Akademi Sains Rusia pula menyifatkan gempa itu sebagai sangat kuat, namun menyatakan bahawa intensiti gegaran adalah lebih rendah daripada jangkaan kerana ciri-ciri unik pusat gempa.

"Gegaran susulan masih berlaku dan dijangka terus dirasai, namun tiada gegaran yang lebih kuat dijangka dalam masa terdekat. Keadaan kini adalah terkawal," menurut kenyataan video mereka.

Semenanjung Kamchatka dan wilayah Timur Jauh Rusia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang terkenal dengan aktiviti seismik dan gunung berapi aktif, menjadikannya antara kawasan paling terdedah kepada bencana geologi di dunia.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengeluarkan amaran awal berkenaan potensi tsunami di beberapa perairan Indonesia susulan gempa bumi kuat berukuran 8.6 magnitud yang melanda perairan Rusia.

"Berpotensi berlaku tsunami di wilayah Gorontalo, Maluku Utara, Papua Barat, Papua, dan Sulawesi Utara. Potensi berkenaan perlu disebarkan kepada masyarakat.

"Sila patuhi arahan awal amaran tsunami daripada BPBD, BNPB dan BMKG," kata BMKG dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu, memetik Tempo.

Dalam kenyataan sama, BMKG juga menggesa kerajaan negeri, daerah dan bandar di kawasan terlibat untuk bertindak segera berdasarkan tahap risiko yang ditetapkan.

Bagi kawasan yang berada pada status 'Awas', pihak berkuasa tempatan diminta untuk segera mengarahkan pemindahan menyeluruh bagi memastikan keselamatan penduduk.

Sementara itu, bagi kawasan yang berada pada status 'Siaga', arahan dikeluarkan supaya penduduk segera dipindahkan ke kawasan selamat.

Bagi kawasan berstatus 'Waspada', penduduk dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai dan tebing sungai bagi mengelakkan sebarang risiko akibat gelombang tsunami.

"Pihak berkuasa di setiap peringkat diminta memberi perhatian penuh terhadap arahan ini dan mengambil tindakan segera untuk melindungi nyawa serta keselamatan masyarakat,” kata BMKG dalam kenyataan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram