Sistem tol Jepun rosak selama 38 jam, lebih 24,000 pengguna lebuh raya tetap bayar semula tanpa paksaan


  • Benua
  • Selasa, 29 Jul 2025

Lebih 24,000 pemandu tampil membuat bayaran tol secara sukarela walaupun tiada paksaan undang-undang untuk berbuat demikian.

SISTEM Pemungutan Tol Elektronik (ETC) di Jepun mengalami gangguan besar selama 38 jam pada 8 hingga 9 April 2025 melibatkan 106 pondok tol utama di lebuh raya utama negara itu.

106 pondok tol utama termasuk Lebuh Raya Tomei dan Chuo difahamkan terpaksa membuka pintu tol untuk membenarkan kenderaan lalu tanpa bayaran.

Namun, kejadian itu mencetuskan fenomena luar biasa apabila lebih 24,000 pemandu tampil membuat bayaran tol secara sukarela walaupun tiada paksaan undang-undang untuk berbuat demikian.

BACA LAGI: [VIDEO] Laos turut jadi mangsa perang Thailand-Kemboja

BACA LAGI: Gigit hingga mati, bayi usia 12 bulan terselamat dipatuk ular tedung di India

Gangguan sistem itu menjejaskan lebuh raya yang menjadi laluan penting pengangkutan harian antara Tokyo dan wilayah utama seperti Kanagawa, Yamanashi, Nagano, Shizuoka, Aichi, Gifu dan Mie.

Masalah berkenaan menyebabkan pintu tol terpaksa dibuka sebagai langkah kecemasan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Pengendali sistem berkenaan, NEXCO Central Japan segera mengumumkan bahawa pemandu boleh membuat pembayaran secara sukarela melalui portal dalam talian selepas perjalanan mereka selesai.

Bukan itu sahaja, pihak tersebut juga melancarkan kempen kesedaran bagi menggalakkan orang ramai tampil membuat bayaran berdasarkan integriti diri.

Sepanjang tempoh gangguan itu, lebih 920,000 kenderaan yang dilengkapi peranti ETC melalui pondok tol tanpa perlu membayar tetapi hanya sekitar 3.8 peratus atau lebih 36,000 pemandu membuat pembayaran secara sukarela sehingga pertengahan April.

 

 

Walaupun kadar pembayaran sukarela itu agak rendah, NEXCO memuji tindakan mereka yang bertanggungjawab dan mengumumkan pengecualian bayaran tol untuk semua yang terjejas semasa gangguan.

Mereka yang membayar juga diberi ganjaran melalui program mata ganjaran ETC untuk perjalanan masa depan.

Reaksi masyarakat antarabangsa sangat mengagumi budaya kepercayaan tinggi dan etika sivik rakyat Jepun yang sanggup membayar walaupun berpeluang mengelak bayaran.

Perbincangan hangat di media sosial dan platform seperti Reddit, Twitter (X), serta liputan meluas media antarabangsa seperti NDTV dan Hindustan Times menunjukkan rasa kagum terhadap nilai integriti dan hormat rakyat Jepun terhadap infrastruktur awam.

Pengendali sistem berkenaan, NEXCO Central Japan.

Pendekatan NEXCO yang telus dan tidak menguatkuasakan denda menerima pujian ramai kerana memberi kepercayaan kepada masyarakat untuk membuat keputusan secara sukarela tanpa tekanan undang-undang.

Ia dianggap satu model tadbir urus yang berasaskan kepercayaan dan nilai moral.

Insiden tersebut kini menjadi kajian kes penting dalam bidang tadbir urus, tingkah laku sivik dan pengurusan krisis, menonjolkan keunikan budaya Jepun yang mengutamakan tanggungjawab sosial dan kebaikan bersama walaupun tanpa paksaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram