
POLIS Manchester menahan seorang pemandu bas dua tingkat selepas nyaris mengakibatkan lebih 20 penumpang terbunuh apabila melanggar sebuah jejambat.
Kejadian itu berlaku di Borton Lane dekat Salford pada Isnin apabila bahagian atas bas itu merempuh bahagian sisi jejambat sehingga mengakibatkan bumbung kenderaan tersebut tercabut.
Insiden tersebut turut dirakam kamera pengawasan berdekatan lokasi kemalangan.
Polis Greater Manchester berkata, pemandu berusia 50-an itu ditahan atas dakwaan kecuaian memandu sehingga menyebabkan 20 penumpang cedera.
BACA LAGI: [VIDEO] Masalah komunikasi antara 2 juruterbang punca awal pesawat terhempas korbankan 260 nyawa
Bagaimanapun lelaki tersebut dibebaskan dengan ikat jamin walaupun ada dakwaan mengatakan dia cuba melarikan diri sejurus kemalangan berlaku.
Dalam kejadian berkenaan, tiga penumpang iaitu seorang remaja berusia 19 tahun dan dua lelaki, masing-masing berusia 20 dan 40, mengalami kecederaan serius dan masih dirawat di hospital tetapi dilaporkan stabil.
Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan mengubah laluan dan gagal mengikut tanda amaran ketinggian jejambat itu.
NEW: Bus driver nearly decapitates passengers after crashing into a low bridge and ripping off the top of the bus in the UK.
The driver has since been arrested on suspicion of “causing serious injury by careless driving.”
20 people were injured with a few sustaining… pic.twitter.com/IVIDIsHN4e
— Collin Rugg (@CollinRugg) July 22, 2025
Pegawai jabatan pengangkutan Manchester, Vernon Everitt berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu termasuk mendapatkan keterangan operator bas, Stagecoach.
"Kes ini mengundang bahaya kepada penumpang dan kami berterima kasih kepada pihak terlibat yang pantas memberi bantuan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Michael Wheele berkata, kemalangan itu tidak sepatutnya berlaku.
"Ini bukan kali pertama berlaku dan kita perlu pastikan kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.
Pada April 2023, kejadian sama berlaku di lokasi terbabit apabila sebuah bas mengalami kerosakan bumbung apabila cuba melalui terowong jejambat tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram