[VIDEO] Simpang Bekoh berduka, 14 rumah kedai berusia 100 tahun musnah dijilat api


  • Kes
  • Isnin, 21 Jul 2025

Pelbagai premis termasuk makanan, kedai pakaian aksesori telefon bimbit, runcit dan motosikal telah terbakar hampir 90 peratus.

DERETAN rumah kedai papan berusia berusia lebih 100 tahun di Pekan Simpang Bekoh di Jasin, Melaka bertukar menjadi abu dalam satu kebakaran besar yang berlaku pada Isnin.

Dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 5 petang itu, sebanyak 14 pintu rumah kedai termasuk enam premis yang masih aktif menjalankan perniagaan musnah dijilat api, menyebabkan kerugian besar dan memadamkan sebahagian sejarah pekan kecil tersebut.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Saiful Nazri Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.57 petang sebelum dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan BBP Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain golf tumbang di Bukit Unggul, meninggal dunia akibat strok haba

BACA LAGI: JBPM disaran saman Ija lepas buat sandiwara lari ke Thailand

Menurutnya, setiba di lokasi pihaknya mendapati struktur bangunan jenis kayu yang melibatkan pelbagai premis termasuk makanan, kedai pakaian aksesori telefon bimbit, runcit dan motosikal telah terbakar hampir 90 peratus.

"Operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan empat aliran hos, masing-masing dua daripada jentera BBP Jasin dan BBP Jasin Bestari.

"Selain itu kerja-kerja overhaul mendapat bantuan lori tangki air dari BBP Ayer Keroh dan BBP Bukit Gambir," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, operasi memadam kebakaran menghadapi sedikit kesukaran dalam berikutan tekanan air yang rendah di kawasan berkenaan.

"Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi masih lagi diteruskan," katanya lagi.

Video tular kebakaran besar berkenaan tular di media sosial dan menimbulkan rasa pilu dalam kalangan penduduk setempat dan warganet. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram