[VIDEO] Tiada petunjuk baharu, operasi SAR Ija Nizaruddin di Sungai Tui ditamatkan


  • Kes
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Operasi mencari Ija di Sungai Tui, Bukit Kepong, Muar ditamatkan selepas empat hari pencarian tanpa sebarang petunjuk baharu. — Facebook

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang selepas kenderaannya ditemui di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Muar, Johor ditamatkan pada Jumaat selepas empat hari pencarian tanpa sebarang petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diwujudkan di lokasi juga telah ditutup secara rasmi.

"Keputusan untuk menamatkan operasi SAR dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk usaha pencarian menyeluruh di kawasan kejadian yang telah selesai, serta tiada penemuan baharu yang dapat membantu siasatan.

BACA LAGI: Polis siasat punca sebenar kematian pelajar asrama perempuan di Papar

BACA LAGI: [VIDEO] Ditegur jarang masuk kelas, guru mengamuk tumbuk cermin dalam kelas

“Selain itu, keperluan untuk memperluas pencarian ke lokasi lain turut menjadi pertimbangan utama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin, dilaporkan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai dipandunya ditemui dalam keadaan separa tenggelam di Sungai Tui, kawasan ladang kelapa sawit di Bukit Kepong pada Selasa lalu.

Mangsa bagaimanapun tidak ditemukan di dalam kenderaan tersebut.

Susulan itu, operasi SAR digerakkan serta-merta melibatkan seramai 77 pegawai dan anggota pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Dron JBPM, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pencarian melibatkan operasi darat, air dan udara dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kenderaan ditemui.

Bagaimanapun, selepas empat hari pencarian intensif, tiada petunjuk baharu berjaya dikesan.

Menurut Raiz Mukhliz, operasi SAR di lokasi kini ditamatkan, namun pencarian susulan akan dilaksanakan secara berkala oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati perasaan keluarga mangsa.

Sebarang maklumat berkaitan kehilangan Tengku Nizaruddin boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Ismail Ali di talian 013-7165432. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram