
SEORANG juruterbang muda ditahan sebaik mendarat di Antartika selepas didapati mengubah pelan penerbangannya tanpa memaklumkan kepada pihak kawalan trafik udara (ATC) yang berkaitan.
Ethan Guo,19, merupakan seorang warga Amerika Syarikat keturunan Cina, dilaporkan sedang menjalankan misi menjelajah tujuh benua untuk mengumpul dana sebanyak AS$1 juta (RM4.7 juta) bagi tujuan penyelidikan kanser.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya yang mempunyai lebih sejuta pengikut, Ethan berlepas dari Lapangan Terbang Punta Arenas di Chile sebelum mengubah haluan penerbangan ke Antartika.
BACA LAGI: Buang sekolah takkan selesaikan kes buli — PIBGN
Bagaimanapun, dia gagal memaklumkan perubahan itu kepada pusat kawalan trafik udara yang sepatutnya.
Pihak Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Chile menganggap tindakan Ethan sebagai 'operasi tidak sah di lapangan terbang Antartika' dan menyatakan bahawa ia melanggar peruntukan Statut Antartika.
Misi Ethan mendapat perhatian ramai kerana hasratnya untuk mencipta sejarah sebagai individu pertama menerbangkan pesawat kecil secara solo ke semua tujuh benua, sambil mengumpul dana untuk membantu penyelidikan kanser.
"Saya mula jatuh cinta dengan dunia penerbangan sejak usia 13 tahun dan memperoleh lesen juruterbang peribadi pada umur 17.
"Saya juga memiliki kelayakan IFR yang membolehkan saya terbang hanya berpandukan instrumen walaupun tanpa rujukan visual kepada daratan," tulisnya dalam laman Instagram miliknya.
Ethan turut memaklumkan bahawa dia menerbangkan pesawat ke kesemua 48 negeri di tanah besar Amerika Syarikat dan menyeberangi Lautan Atlantik sebanyak tiga kali, dengan jumlah masa penerbangan melebihi 700 jam.
Mengulas mengenai tujuan misi tersebut, Ethan menjelaskan bahawa ia tercetus selepas sepupunya disahkan menghidap kanser pada tahun 2021.
"Saya sangat mengaguminya. Dia memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil hidup dengan lebih serius dan menyertai perjuangan menentang penyakit ini," katanya.
"Saya mahu memanfaatkan setiap peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser kanak-kanak dan keperluan untuk memperhebat usaha penyelidikan bagi mencari kaedah pencegahan serta rawatan,” tambahnya lagi.
Setakat ini, pihak berkuasa penerbangan Chile masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kes tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram