[VIDEO] Insiden 'Karen India' enggan lipat meja pesawat kerana beg mahal rupanya lakonan, bukan situasi sebenar


  • Benua
  • Ahad, 29 Jun 2025

Tangkap layar memaparkan seorang penumpang bergaduh dengan kru sebuah pesawat gara-gara enggan melipat meja makan (tray table) sebelum berlepas. — Agensi

BARU-BARU ini, tular satu video memaparkan seorang wanita bertengkar dengan kru kabin dalam sebuah pesawat gara-gara enggan melipat meja makan (tray table) sebelum pesawat berlepas.

Video itu disebarkan dengan dakwaan kononnya wanita terbabit, yang didakwa berasal dari India, enggan melipat meja kerana tidak mahu beg tangan mahal miliknya terjejas.

Malah wanita berkenaan turut diberi nama 'Karen India' kerana sikap berlagak dan bodoh sombongnya itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis kesan wanita cantik didakwa curi telefon di Cheras

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron

Untuk makluman nama 'Karen' merujuk kepada seorang wanita yang dianggap berlagak, suka mengarah-arah, mengadu perkara remeh kepada pihak berkuasa dan berasa diri lebih tahu atau berhak daripada orang lain.

Namun siasatan mendapati video berkenaan sebenarnya bukan insiden sebenar.

 

 

 

Melalui perkongsian di laman X, @dintentdata pada Ahad menjelaskan beberapa minit itu hanya lakonan skrip yang dimuat naik oleh Fly High Institute, sebuah pusat latihan penerbangan di Nagpur, India.

Fly High Institute dikenali kerana sering menghasilkan video pendek berskrip di media sosial untuk tujuan latihan, pendidikan dan kesedaran awam berkaitan etika serta keselamatan dalam dunia penerbangan.

Video tersebut juga dimuat naik di saluran YouTube rasmi mereka dan disertakan kapsyen yang menjelaskan ia adalah lakonan semata-mata, bukan kejadian sebenar seperti yang dipersembahkan oleh sesetengah pengguna media sosial.

Menurut @dintentdata lagi, video itu kemudiannya dipotong dan dikongsi semula oleh beberapa akaun di media sosial dengan naratif yang mengelirukan seolah-olah ia satu kejadian sebenar yang berlaku dalam pesawat komersial sehingga ramai yang terpedaya.

Trend itu juga menimbulkan kebimbangan apabila semakin ramai influencer dan pencipta kandungan berkongsi video berskrip tanpa memberi konteks sebenar, sekali gus mengelirukan orang ramai serta mencetuskan salah faham.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum berkongsi sebarang kandungan di media sosial dan sentiasa menyemak kesahihan sesuatu video yang tular agar tidak terjebak menyebarkan berita palsu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram