'Aku akan dijual lagi', dijanjikan kerja penyanyi di Malaysia, lelaki Indonesia maut jatuh bangunan di Kemboja


  • Benua
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Azwar selepas (kiri) dan sebelum (kanan) bekerja selama dua bulan di Kemboja susulan ditipu ejen bernama Hasan.

HARAPAN untuk memperbaiki nasib di negara jiran berakhir dengan tragis bagi Azwar penduduk Dusun II, Kelurahan Bunut, Kecamatan Kisaran Barat, Kabupaten Asahan, Sumatera Utara, Indonesia. 

Lelaki berusia 32 tahun itu pada awalnya dijanjikan pekerjaan sebagai penyanyi di Malaysia, namun dihantar ke Kemboja dan dipercayai telah dijual kepada sebuah syarikat disyaki scammer

Azwar meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan, selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan di negara tersebut.

BACA LAGI: Tular kes pelajar perempuan dibuli dalam tandas di Klang, polis akan ambil tindakan tegas

BACA LAGI: Maut ditembak ketika beli motor terpakai di Meru, polis siasat jika ada elemen kongsi gelap

Difahamkan Azwar berangkat pada April 2025 melalui seorang ejen bernama Hasan, penduduk Medan. Ejen tersebut menjanjikan Azwar pekerjaan sebagai penyanyi dengan bayaran sekitar AS$800 (RM 3,750).

Namun hakikatnya, Azwar dihantar ke Kemboja dan telah diperdagangkan kepada syarikat-syarikat yang memperlakukan pekerja migran secara tidak berperikemanusiaan.

Adik kandung Azwar iaitu Abdul Aziz menggambarkan abangnya sebagai seorang yang rajin bekerja dan memiliki bakat dalam bidang nyanyian yang sering dinikmati oleh masyarakat sekitar Kisaran.

"Dia dulu menyanyi dari pentas ke pentas. Dia memang sudah biasa tak balik rumah kerana kerja. 

“Pergaulan dia luas, ramai kawan. Dia tak balik pun kami anggap biasa sebab dia kerja, jadi kami percaya saja," kata Aziz pada Khamis.

Menurut Aziz, Azwar pergi ke Medan kerana sudah kurang jemputan menyanyi di kampung dan bertekad untuk mencari rezeki di luar negara.

Azwar pada awalnya dijanjikan bekerja di Malaysia. 

"Dia pergi itu, kami tak ada yang tahu. Dia memang biasa kerja jauh dan tak balik. Kami tak ada rasa curiga," kongsi adik mangsa. 

Sebelum meninggal, Azwar sempat menghantar video dan membuat panggilan video kepada keluarga.

Dalam video itu, Azwar menceritakan mengalami kesakitan, tidak dapat bekerja dan diminta membayar denda sebanyak Rp 40 juta untuk dibebaskan. Dia juga menyebut nama Hasan sebagai ejen yang membawanya.

"Ziz, aku tak boleh kerja. Kalau denda dibayar sekali dengan tiket aku balik. Kalau tak, aku akan dijual lagi dan nanti aku dibuang ke laut sebab sakit, tak boleh kerja. 

"Yang bawa aku Bang Hasan, ejen. Nombor dia dah tak aktif. Tolonglah aku beb," kata Azwar dalam salah satu videonya sambil batuk-batuk.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang dikenali sebagai Riza menyatakan bahawa jenazah Azwar masih belum dapat dibawa pulang kerana kekangan kewangan yang besar, iaitu sekitar Rp 160 juta (RM 47,000). 

Azwar seorang yang rajin bekerja dan memiliki bakat dalam bidang nyanyian.

Jenazah kini berada di bawah pihak berkuasa polis Kemboja, dan keluarga mengharapkan bantuan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) untuk pemulangan.

Ketua Dinas Tenaga Kerja Kabupaten Asahan, Meiliana mengesahkan bahawa Azwar merupakan Pekerja Migran Indonesia (PMI) tidak berprosedur atau haram.

"Semalam (Rabu) keluarga telah berbincang dengan Direktorat Perlindungan Warga Negara Indonesia (Dit PWNI). Keluarga masih berharap jenazah dapat dipulangkan," kata Meiliana pada Rabu. 

Menurut Meiliana, pihak KBRI pernah mencadangkan agar jenazah dikebumikan di Kemboja kerana kekangan kos pemulangan yang tinggi.

"Daripada perbincangan, kos untuk pemulangan sangat tinggi. Pihak kedutaan berharap jenazah tidak perlu dipulangkan dan urusan pengkebumian dilakukan di Kemboja," katanya. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram