[VIDEO] Cuma ‘bersenjatakan’ serbuk cili, perompak kedai emas cecah RM50,000 di Langkawi berjaya dicekup


  • Kes
  • Khamis, 19 Jun 2025

Cubaan lelaki tersebut melarikan barang kemas digagalkan orang ramai dan polis yang berada di lokasi.

SEORANG lelaki bersenjatakan parang dan serbuk cili bertindak merompak sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah, Kuah, Langkawi, Kedah pada Khamis.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 11.48 pagi itu, suspek dipercayai seorang lelaki tempatan berjaya diberkas polis berhampiran tempat kejadian tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek yang memakai topeng ski meluru masuk ke kedai emas tersebut sebelum mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja di situ.

BACA LAGI: Menjelang LIMA'25, 60,000 tiket feri terjual di Langkawi

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas latihan LIMA 2025, aset TLDM hilang kawalan sebelum langgar bot pelancong di Langkawi

"Suspek sempat melarikan sejumlah emas bernilai kira-kira RM50,000. Namun, suspek dikejar pemilik kedai bersama orang awam sebelum diberkas anggota polis yang meronda berhampiran lokasi kejadian.

“Pemilik kedai emas berusia 69 tahun dan pekerja wanita berusia 60 tahun kemudian bertindak mengejar suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, dalam rakaman kamera litar tertutup yang tular di media sosial, kelihatan seorang lelaki memakai topeng ski bertindak memecahkan kotak kaca di kedai berkenaan.

Dia sempat melarikan barang kemas yang berada di ruang paparan, namun kedua-dua pekerja sempat mengejar suspek dengan polis mengesahkan suspek sempat ditahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram