
RATUSAN orang turun ke jalan di San Francisco dan pusat bandar San Jose pada Ahad bagi membantah serangan tentera baru-baru ini yang dilancarkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas tapak nuklear Iran.
Para penunjuk perasaan menyuarakan kebimbangan bahawa serangan tersebut berpotensi mengheret Amerika Syarikat ke dalam konflik ketenteraan baharu di Timur Tengah, yang boleh menimbulkan ketegangan dan ancaman keselamatan yang lebih besar di rantau itu.
Ahli Kongres Sam Liccardo, yang mewakili kebanyakan kawasan Sillion Valley dan San Mateo dalam satu temu bual bersama saluran KRON4 berkata, para penunjuk perasaan harus yakin bahawa beliau serta pemimpin-pemimpin lain sedang berusaha sebaik mungkin untuk meredakan ketegangan global.
BACA LAGI: AS akhirnya masuk 'gelanggang', hantar pesawat B-2 letupkan fasiliti nuklear Iran
BACA LAGI: [VIDEO] Honda 'cabar' program angkasa Elon Musk, berjaya uji roket
Demonstrasi berkenaan merupakan sebahagian daripada gelombang protes yang melanda beberapa bandar utama di Amerika Syarikat susulan tindakan ketenteraan tersebut.
Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan ribuan rakyat Amerika Syarikat turun ke jalan raya dengan penuh kemarahan dan membantah tindakan pentadbiran yang dilakukan oleh Trump.
Dalam video itu, para penunjuk perasaan bersorak secara serentak dengan laungan, “Trump berambus. Tiada perang atas nama kami!” sebagai tanda protes terhadap keputusan serangan tersebut yang dilihat boleh membawa negara ke kancah peperangan baharu.
Demonstrasi itu mencerminkan kebimbangan dan kemarahan rakyat Amerika yang tidak mahu nama mereka digunakan untuk menyokong konflik ketenteraan, sambil menuntut perubahan dasar dan kepimpinan yang lebih bertanggungjawab.
Video tular berdurasi 34 saat berkenaan mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan banyak pihak mengecam serangan tersebut dan menyokong suara penentangan dari rakyat negara berkenaan.
Terdahulu, Trump berkongsi bahawa serangan udara dari Amerika Syarikat pada Ahad akan memusnahkan sepenuhnya tapak nuklear utama Iran, ketika Washington menyertai perang Israel dengan Tehran.
Dalam ucapan di televisyen kepada negara dari Rumah Putih, Trump memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan menyerang lebih banyak sasaran jika Iran tidak berdamai dengan cepat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram