
KEMENTERIAN Luar Negeri pada Selasa mengeluarkan arahan segera kepada semua rakyat Malaysia di Iran agar meninggalkan negara tersebut susulan ketegangan yang semakin meruncing ekoran tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan Wisma Putra pada Selasa, kementerian memaklumkan bahawa keselamatan di Iran kini berada pada tahap yang sangat tidak menentu, dengan situasi berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia diminta meninggalkan Iran dengan serta-merta menggunakan apa jua kaedah perjalanan yang selamat dan tersedia.
BACA LAGI: [VIDEO] Israel sasar stesen TV Iran ketika ‘live’, bukti jelas jenayah peperangan
BACA LAGI: [VIDEO] Konflik Iran-Israel makin tegang, kapal perang AS dikerah ke Timur Tengah
Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dilaporkan sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di negara itu dan telah meningkatkan usaha konsular bagi memastikan kebajikan semua rakyat Malaysia yang berada di sana.
"Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan agar meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
"Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal. Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan Kementerian ini," memetik kenyataan Wisma Putra.
Wisma Putra meminta rakyat Malaysia meninggalkan Iran dengan serta-merta.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Wisma Putra turut mengaktifkan Bilik Gerakan bermula 17 Jun 2025 bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan. Ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi bilik gerakan di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected].
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Iran berikutan konflik antara Iran dan Israel masih belum diputuskan.
Ketegangan di Asia Barat meningkat berikutan beberapa siri insiden, termasuk serangan udara dan konflik rentas sempadan yang menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri menasihatkan semua warganegara Malaysia untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Iran, Iraq dan Jordan susulan ketegangan yang meningkat di rantau tersebut.
Wisma Putra juga memaklumkan bahawa ruang udara di ketiga-tiga negara tersebut telah ditutup, menyebabkan gangguan kepada jadual penerbangan.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini, serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram