
TENTERA Laut Amerika Syarikat (AS) kini menggerakkan kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat kedua ke Timur Tengah berikutan peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran yang berisiko mencetuskan konflik lebih besar.
Kumpulan serangan pertama, USS Harry S. Truman, telah berada di Laut Merah sejak Disember 2024 dan kini diperpanjang operasinya selama sebulan lagi.
Sementara itu, kumpulan kedua, USS Carl Vinson yang sebelum ini beroperasi di Lautan Pasifik bersama pasukan tentera laut Jepun dan Korea Selatan, kini sedang dalam perjalanan ke Timur Tengah.
BACA LAGI: Konflik Israel: Malaysia teliti keperluan bawa keluar rakyat dari Iran — PM Anwar
BACA LAGI: Projek tebatan banjir bongkar sisi gelap Sungai Klang, lebih 10 mayat termasuk bayi ditemukan
Pergerakan itu menandakan kali kedua dalam tempoh enam bulan dua kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat dikerahkan ke rantau tersebut, berbeza dengan kebiasaan satu kumpulan sahaja.
Kedua-dua kapal pengangkut tersebut, USS Nimitz dan USS Carl Vinson dilengkapi dengan lebih 60 pesawat dan mampu menampung sehingga 5,000 anggota kru.
Kehadiran mereka di Laut China Selatan sebelum ini adalah sebahagian daripada operasi rutin Tentera Laut AS di rantau Indo-Pasifik.
Namun, pergerakan mendadak kapal-kapal ini ke arah barat menunjukkan persiapan strategik untuk menghadapi kemungkinan eskalasi ketegangan di Timur Tengah.
Langkah tersebut juga bertepatan dengan pengumuman Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, yang memerintahkan penempatan tambahan aset pertahanan ke Timur Tengah bagi memperkukuhkan postur pertahanan negara di tengah-tengah ketegangan yang meningkat akibat konflik antara Israel dan Iran.
Pergerakan kapal-kapal itu juga menandakan kesiapsiagaan strategik Amerika Syarikat untuk menyokong sekutu-sekutunya atau meningkatkan operasi ketenteraan jika diperlukan, sambil tetap mengekalkan pendekatan pertahanan selagi warga Amerika tidak berada di bawah ancaman langsung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram