
KEMENTERIAN Luar Negeri mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden nahas pesawat Air India yang berlaku baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan insiden berkenaan dan akan menyediakan sebarang maklumat terkini yang diperlukan dari semasa ke semasa.
“Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai, sedang memantau rapat situasi susulan laporan berhubung nahas pesawat Air India Penerbangan AI171 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad semasa berlepas pada 12 Jun.
BACA LAGI : [VIDEO] Pesawat Air India ke London bersama lebih 240 penumpang terhempas sejurus berlepas di Ahmedabad
BACA LAGI : [VIDEO] Pemandu lori maut tersepit, nahas 3 kenderaan berat di Lebuhraya Utara-Selatan
Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Air India yang dalam perjalanan ke London dilaporkan terhempas tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang di Ahmedabad, Gujarat pada pagi Khamis. pic.twitter.com/Z50j6sbmib
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) June 12, 2025
“Pesawat berkenaan, sebuah Boeing 787, sedang dalam perjalanan dari Ahmedabad ke Gatwick dan dilaporkan membawa kira-kira 242 orang penumpang,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai menerusi talian +91 22 6996 5757 atau e-mel ke [email protected].
Terdahulu, Air India mengesahkan bahawa pesawat Penerbangan 171 dari bandar Ahmedabad ke London Gatwick telah terlibat dalam satu “kemalangan tragik”.
"Dengan rasa dukacita yang mendalam, saya mengesahkan bahawa Penerbangan 171 Air India yang beroperasi dari Ahmedabad ke London Gatwick telah mengalami satu kemalangan tragik pada Khamis," kata Pengerusi Air India, Natarajan Chandrasekaran dalam satu kenyataan.
Difahamkan, pesawat yang membawa lebih 240 orang penumpang itu terhempas berhampiran Forensic Cross Road di kawasan Meghaninagar, Ahmedabad, Gujarat.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.
"Saya amat sedih menerima berita nahas tragik yang menimpa Penerbangan Air India 171 berhampiran Ahmedabad, India.
"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada seluruh keluarga dan insan tersayang mangsa-mangsa yang terlibat," katanya dalam satu hantaran di media sosial pada hari yang sama.
"Kami turut bersedih bersama India dan menyatakan solidariti penuh tatkala usaha bantuan sedang dijalankan. Doa dan ingatan kami bersama mangsa serta semua yang sedang berkabung atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” tambah beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram