Sikap mula berubah lepas dibuli, kepala pemuda Jepun 'terjatuh' lepas tatap telefon pintar terlalu lama


  • Benua
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Foto memaparkan hasil imbasan X-ray pada pemuda berusia 25 tahun terbabit. — JOS Case Reports

SEORANG pemuda di Jepun berusia 25 tahun kehilangan keupayaan untuk mengangkat kepalanya dengan didiagnosis mengalami sindrom kepala jatuh gara-gara sering melihat telefon pintarnya untuk satu tempoh yang lama.

Kes kesihatan yang dianggap jarang berlaku, terutamanya dalam kalangan orang muda dikongsikan dalam laporan oleh jurnal perubatan JOS Case Reports yang memaparkan impak serius mengekalkan postur membengkokkan leher untuk tempoh berpanjangan.

Pesakit dan keluarganya dimaklumkan bahawa data daripada penyelidikan itu akan diterbitkan dan persetujuan daripada mereka sudah pun diperolehi, kata jurnal terbabit.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Sindrom kepala jatuh adalah penyakit jarang ditemui, sering dikaitkan dengan isu neuromuskular tetapi juga boleh disebabkan oleh kecacatan tulang belakang kerana meletakkan leher dalam kedudukan bengkok yang tidak semula jadi untuk tempoh lama.

Pemuda berkenaan mengalami bonjolan besar di belakang lehernya dan kehilangan keupayaan mengangkat kepalanya menggunakan otot leher pada 2023. 

Sebelum mendapatkan rawatan, dia mengalami sakit leher teruk dan kesukaran menelan makanan sehingga membawa kepada penurunan berat badan cepat. 

Pakar perubatan menekankan kes teruk itu sebagai amaran tentang risiko penggunaan telefon pintar yang berlebihan, terutamanya dalam kalangan golongan muda. — Gambar hiasan

Postur leher luar biasa yang berpanjangan didapati melemahkan ototnya sehingga dia tidak dapat lagi menegakkan kepalanya.

Doktor menyatakan bahawa pesakit merupakan seorang kanak-kanak yang sangat aktif semasa membesar tetapi insiden dibuli yang teruk pada tahun-tahun remajanya. 

Situasi itu menyebabkan dia berhenti sekolah dan mengasingkan diri dengan menghabiskan sebahagian besar masanya bersendirian bermain telefon dengan leher bengkok ke bawah selama berjam-jam setiap hari.

Postur terbabit menyebabkan bonjolan yang ketara di belakang lehernya. 

Imbasan perubatan mendedahkan vertebra serviks yang herot dan terkehel, bersama dengan parut di tisu pada tulang belakang atasnya akibat regangan berpanjangan.

Pada lawatan pertamanya ke hospital, dia mengalami sindrom kepala jatuh tetap yang ketara sehingga mengekalkan postur dagu di dada.

Rawatan awal menggunakan kolar penyokong telah dicuba, tetapi pesakit selepas itu melaporkan merasai kebas pada lehernya.

Doktor seterusnya memilih untuk melakukan pembedahan. 

Pelbagai prosedur melibatkan membuang bahagian vertebra dan parut tisu yang rosak, sebelum melakuka langkah menstabilkan lehernya dengan memasukkan skru dan batang logam untuk membetulkan posturnya.

Enam bulan selepas pembedahan, pesakit mendapat semula keupayaan untuk mengangkat dan memegang kepalanya dengan betul, dengan peningkatan lanjut disahkan setahun kemudian.

Pakar perubatan menekankan kes teruk itu sebagai amaran tentang risiko penggunaan telefon pintar yang berlebihan, terutamanya dalam kalangan golongan muda. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram