
KAPTEN skuad sepak takraw kebangsaan, Farhan Adam, menyuarakan keyakinan tinggi pasukannya menjelang Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) yang bakal membuka tirai pada Sabtu ini di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Menurut Farhan, skuad negara kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya, baik dari segi fizikal mahupun mental dan telah menanam tekad untuk menamatkan kemarau kejuaraan berpasukan yang telah berlarutan selama 34 tahun.
Pemain berusia 36 tahun itu turut menjelaskan bahawa walaupun pasukan tidak diletakkan di bawah tekanan tinggi, mereka tetap fokus dan memanfaatkan sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak termasuk Institut Sukan Negara (ISN).
BACA LAGI: Pakistan tarik diri akibat pergolakan negara, PSM lega India tak ikut sama
BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah
"Memang kami semua dah tanamkan dalam diri. Kami nak pecahkan rekod yang agak lama dari segi acara berpasukan. Peluang tak banyak dan ini salah satu peluang terbaik untuk tahun ini.
"Kami tidak meletakkan tekanan yang terlalu tinggi. Kami hanya menikmati permainan, mengikuti segala arahan jurulatih dan dibantu oleh pasukan psikologi dari ISN. Itu semua membantu kami kekal tenang dan bersemangat,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran ASTAF.
Ketika ditanya mengenai cabaran daripada negara lain, Farhan menyebut bahawa selain Thailand yang sentiasa menjadi pencabar utama, beberapa pasukan lain turut dilihat semakin meningkat prestasinya.
"Semua negara pencabar. Selain Thailand, ada juga Indonesia, Korea, India dan Vietnam yang kami tak boleh pandang rendah," jelasnya yang sudah menyarung lebih 15 tahun jersi kebangsaan.
Farhan juga menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia mampu mara ke semua empat acara iaitu regu, kuadran, double dan regu berpasukan yang dipertandingkan dalam kejohanan kali ini.
"Insya-ALLAH, dalam semua acara, Malaysia akan berada di final. Di final nanti kami akan buktikan, kami akan cuba dapatkan keempat-empat gelaran," katanya penuh semangat.
Dalam masa yang sama, Farhan turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir memberikan sokongan moral kepada skuad negara, sama ada di stadium mahupun dari rumah.
"Kami memerlukan sokongan daripada anda. Tanpa anda, siapalah kami. Jadi, yang mana nak datang ke stadium, jangan lupa datang dan saksikan sendiri pemain-pemain negara beraksi," rayunya kepada para penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram