
SEPASANG suami isteri warga China yang memiliki 15 juta pengikut dalam talian mengumumkan mereka berhenti daripada melakukan penstriman langsung akibat keletihan selepas membuat 1,000 penampilan dalam tempoh lima tahun.
Pasangan itu yang tinggal di wilayah Sichuan, Barat Daya China, dan menggunakan akaun nama @caihongfufu, mengumumkan pada 20 April bahawa mereka memutuskan untuk berhenti melakukan penstriman langsung sehingga mereka dapat memikirkan cara bagi mendapatkan keseimbangan hidup.
Isterinya, Sun Caihong berkata, mereka sudah keletihan menjalankan sesi penstriman langsung yang setiap satu daripadanya akan berlarutan lebih daripada lapan jam.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Dia turut memberikan alasan tidak mempunyai masa untuk menemani keluarganya dan termasuk merawat kerosakan pada pita suaranya.
Caihong berkata, dia tidak pernah berhenti bekerja, walaupun semasa melahirkan empat anak sejak lima tahun lalu.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata, dia telah memberitahu pasukannya untuk berhenti mengatur siaran langsung baharu, dan akan belajar berehat dan menikmati kehidupan bersama suaminya, Guo Bin, 32.
Pasangan itu bekerja dalam bidang jualan insurans sebelum menjadi pempengaruh.
Bin dan isterinya Caihong berkata, penstriman langsung yang berterusan menyebabkan mereka keletihan. — Agensi
Pada 2020, mereka mula berkongsi kisah cinta mereka di media sosial sehingga menarik 3 juta pengikut dalam tempoh setahun.
Mereka kemudiannya menubuhkan syarikat sendiri dan mula menjual barangan keperluan harian secara dalam talian.
Dalam video pada 2022, pasanagan mendedahkan bahawa mereka boleh menjana jumlah jualan sebanyak 230 juta yuan (RM144 juta) dan memperoleh empat juta yuan (RM2.6 juta) dalam satu hari.
Pasangan itu berkata, mereka pernah tinggal di bilik sewa seluas lapan meter persegi sambil menyara hidup dengan melakukan kerja sambilan.
Ketika bertugas sebagai penjual insurans dengan pendapatan pendapatan tahunan sebanyak satu juta yuan (RM577,930), meerka membeli flat dan kereta pertama mereka.
Pasangan terbabit berkahwin pada 2018, dan hasil kejayaan dalam jualan siaran langsung, mereka membeli sebuah flat seluas 260 meter persegi bernilai enam juta yuan (RM3.9 juta).
Pasangan itu berkahwin pada 2018 dan mempunyai empat anak. — Agensi
Mereka juga menjemput ibu bapa dan adik-beradik mereka untuk tinggal bersama dan membantu menjalankan perniagaan tersebut.
Caihong melahirkan tiga anak lelaki dan seorang perempuan antara 2019 dan 2024 bagi memenuhi hasrat suaminya untuk mempunyai seorang anak perempuan.
Pasangan itu berkata, mereka bekerja keras untuk mendapat peluang yang ada, tetapi kemudian menyedari bahawa mereka tidak sepatutnya bersikap tamak.
"Kami dari kelas pendapatan bawahan. Kami harus berpuas hati dengan apa yang telah kami perolehi," kata mereka.
Pasangan itu berkata, mereka akan menghabiskan lebih banyak masa dengan satu sama lain dan keluarga serta hanya akan memulakan semula penstriman langsung selepas memikirkan cara untuk bekerja tanpa mengorbankan kesejahteraan diri
“Mereka telah memperoleh wang yang mencukupi,” kata seorang pemerhati dalam talian mengenai situasi pasangan itu.
"Adalah bijak untuk berhenti apabila anda rasa ia sudah mencukupi. Ia adalah satu kebenaran jelas yang ramai tidak sedar," kata seorang lagi warganet. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram