
AMERIKA Syarikat (AS) menamatkan dasar pengecualian tarif terhadap bungkusan kecil dan barangan bernilai rendah dari tanah besar China dan Hong Kong mulai Jumaat.
Langkah itu dijangka akan menyebabkan peningkatan harga dan gangguan dalam rantaian bekalan global.
Pada masa sama, langkah itu juga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna dan peniaga di AS, selain dikritik oleh pakar perdagangan dari China yang menyifatkannya sebagai melanggar prinsip negara paling dilayan baik (most-favored-nation) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Felo kanan di Akademi Penyelidikan Perdagangan dan Kerjasama Ekonomi Antarabangsa China berkata, dasar itu menyimpang daripada peraturan perdagangan pelbagai hala dan akan menjejaskan kelancaran perdagangan serta rantaian bekalan global.
BACA LAGI : Trump kenakan 24 peratus tarif import terhadap Malaysia
BACA LAGI : Trump buat ‘U-turn’ tarif, Bursa Malaysia mencanak 4.55 peratus
Sebelum ini, dasar "de minimis" membenarkan barangan bernilai rendah masuk ke AS tanpa dikenakan cukai.
Namun, penamatan dasar berkenaan turut memberi kesan besar kepada pengguna yang bergantung kepada platform e-dagang dari China seperti Temu dan Shein untuk membeli barangan murah.
Temu dilapor menghentikan semua penghantaran dari China ke AS dan kini hanya menjual produk yang disimpan di gudang dalam negara tersebut.
Donald Trump ketika mengumumkan tarif bagi produk import dari luar negara pada awal Aril lalu. — Agensi
Shein pula menaikkan harga pelbagai produk, termasuk pakaian dan barangan rumah. Laporan Bloomberg menunjukkan peningkatan harga sebanyak 51 peratus bagi 100 produk teratas dalam kategori kecantikan dan kesihatan.
Menurut data Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, sebanyak 1.36 bilion penghantaran menggunakan peruntukan "de minimis" dicatatkan dalam tahun fiskal 2024, meningkat lebih dua kali ganda berbanding empat tahun lalu.
Langkah itu bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluar China, malah turut menjejaskan syarikat dari negara ketiga yang mengimport semula produk buatan China ke AS.
Malah, ada syarikat dari UK dan Kanada dilapor menggantung penghantaran ke AS.
Syarikat peruncit dari UK, Oh Polly, turut menaikkan harga di pasaran AS sebanyak 20 peratus.
“Kami mungkin terpaksa menaikkan harga lagi jika kos terus meningkat,” kata pengarah urusan syarikat itu, Mike Branney.
Kajian oleh penyelidik UCLA dan Yale mendapati hampir separuh daripada penghantaran "de minimis" sebelum ini dihantar ke kawasan poskod termiskin di AS.
Selain itu, kos logistik turut meningkat ketara.
Penghantaran melalui syarikat seperti UPS, DHL dan FedEx dikenakan tarif asas 145 peratus, manakala penghantaran melalui USPS dikenakan kadar 120 peratus atau caj rata AS$100 (RM425) setiap barangan yang akan dinaikkan kepada AS$200 (RM851) mulai 1 Jun.
Kementerian Perdagangan China menyifatkan tindakan itu sebagai "mengganggu" dan memberi kesan buruk kepada pengguna Amerika sendiri.
Jurucakap kementerian, He Yongqian berkata, perdagangan rentas sempadan sepatutnya dipermudah kerana ia menawarkan penghantaran cepat dan kos rendah.
Sementara itu, China memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai kesungguhan AS yang berulang kali menyatakan hasrat untuk berunding mengenai isu tarif ini.
Jurucakap kementerian berkata, AS turut menyampaikan hasrat itu melalui pelbagai saluran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram