Pengalaman 'travel' penuh drama! Selebriti, pempengaruh kongsi pernah ditipu, sesat


  • Hobi
  • Sabtu, 15 Mac 2025

Pentingnya perancangan rapi sebelum melancong bagi memastikan perjalanan bebas daripada tekanan. — Gambar hiasan/Freepik

MELANCONG bukan sekadar tentang destinasi yang dikunjungi, tetapi juga tentang pengalaman yang ditempuhi sepanjang perjalanan.

Setiap perjalanan membuka peluang untuk menikmati keindahan budaya baharu, bertemu orang asing dan menghadapi cabaran yang tidak dijangka.

Kadang kala, detik-detik ini menguji ketahanan diri dan mengajar kepentingan perancangan serta memberikan pengalaman yang sukar dilupakan.

Baru-baru ini, Majoriti menemu bual secara ringkas beberapa selebriti dan pempengaruh mengenai kisah perjalanan mereka yang bukan sahaja mencabar, tetapi juga mengajar mereka sesuatu yang berharga.

BACA LAGI: Wanita lebih rendah guna AI, ChatGPT berbanding lelaki, bimbang digelar menipu

BACA LAGI: IVF bantu wanita lanjut usia peluang hamil, namun bayi pramatang, sindrom Down antara risiko dialami

(Dari kiri) Sofea, Sissy dan Dayana masing-masing mempunyai detik yang tidak boleh dilupakan ketika melancong ke luar negara. — Instagram selebriti

Bagi pengacara program jenayah 999, Sofea NurSolehha Tun, pengalaman bulan madunya di London pada tahun 2014 menjadi detik yang tidak akan dilupakannya.

Beliau dan suaminya akan menggunakan bas bernombor 222 ke Uxbridge untuk kembali ke hotel mereka.

Namun, pada suatu malam, mereka terlalu leka bermain telefon sehingga terlepas hentian. Tanpa sedar, mereka berada di penghujung laluan bas di kawasan perumahan yang sunyi dan berdekatan dengan hutan serta perkuburan.

Lebih mencemaskan, pemandu bas tidak membenarkan mereka untuk kembali menaiki bas itu.

"Kami ditinggalkan di hujung jalan, di kawasan perumahan yang berdekatan dengan hutan. Gelap, dan kami nampak ada kawasan perkuburan di hujungnya. Memang seram.

"Dalam keadaan panik dan kesejukan, kami terpaksa mencari jalan pulang dengan berpandukan maps yang kurang tepat," katanya.

Justeru, Sofea mengingatkan pentingnya memberi tumpuan ketika menaiki pengangkutan awam dan tidak leka dengan telefon bimbit.

"Kadang-kadang kalau kita duduk dalam pengangkutan awam ni mesti kita nak tengok balik gambar-gambar dan video-video yang kita ambil, atau pun bermain media sosial.

"Jangan buat begitu kerana apabila kita di negara orang, tidak banyak yang kita tahu dan bukan semua orang sudi bantu kita," ujarnya.

Senada dengan Sofea, penyanyi dan pengacara Sissy Imann Mohammad Kamil juga menekankan kepentingan untuk sentiasa peka terutama sekali dalam aspek masa. Akuinya, beliau sering kali terleka sehingga terpaksa tergesa-gesa untuk mengejar waktu.

"Pernah beberapa kali Sissy berdepan situasi kelam kabut kerana mahu mengejar masa sebab tidak perasan. Jadi, Sissy rasa kita kena betul-betul peka dengan persekitaran. Kadang-kadang apabila kita berjalan sana-sini tanpa sedar masa berlalu begitu pantas. Itu yang paling penting," jelas wanita berusia 30 tahun itu..

Pengalaman tersebut jelas mengajar bahawa perancangan rapi dan kesedaran masa adalah elemen penting bagi memastikan perjalanan yang lancar dan bebas tekanan.

Iman (kiri) dan Faa ialah pempengaruh serta pencipta kandungan kecantikan dan fesyen. — Instagram personaliti media sosial

Namun begitu, tidak semua perancangan berjalan dengan sempurna atas beberapa faktor.

Seperti pempengaruh yang sering tampil dengan kecomelannya, Iman Alysha, 23, berkongsi kisah cemasnya ketika hampir terkandas di lapangan terbang akibat kesilapan membawa pasport yang sudah tamat tempoh.

Hal itu terjadi sewaktu Iman ingin berlepas ke United Kingdom untuk pulang ke universitinya.

"Semasa di kaunter check-in, pegawai yang menyemak pasport saya memberitahu bahawa pasport itu bukan milik saya. Saya terkejut dan apabila saya periksa semula, ternyata saya bawa pasport yang sudah tamat tempoh.

"Jadi, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan Grab untuk menghantar passport saya ke lapangan terbang dalam masa yang sangat singkat," katanya yang lebih terkenal dengan nama Iman Opie.

Mujurlah, dengan hanya dua minit sebelum kaunter ditutup, pasport tersebut berjaya sampai ke tangan Iman dan membolehkannya meneruskan perjalanan.

Bagi pelakon dan juga ibu kepada dua orang anak, Dayana Roza, 34, pengalaman paling mencabar baginya adalah ketika melancong bersama anak-anak kecil ke Eropah.

Antara kesukaran yang dihadapinya apabila anka-kanaknya membuang air besar di tempat awam tanpa adanya kemudahan air seperti di Malaysia.

"Kami sedang membeli-belah, tiba-tiba seorang anak saya mencangkung di tengah jalan dan seorang lagi dah mula berbau. Saya fikir, macam mana saya nak selesaikan masalah ini?

"Kita ada portable bidet tetapi ia berbeza dalam keadaan menguruskan anak. Jadi, agak stres dan memerlukan kerjasama dengan suami," ujarnya.

Walaupun mengakui sedikit tertekan, namun beliau melihat pengalaman tersebut sebagai satu cabaran yang akan menjadikan ibu bapa terlibat menjadi lebih yakin untuk bercuti bersama anak-anak kecil.

Selain itu, pempengaruh dunia kecantikan dikenali sebagai Faa Firds berkongsi tindakannya yang melawan penyeluk saku semasa berada di kota Paris.

"Ketika suami saya hampir kehilangan barangan peribadi, Faa sempat menyedari kejadian tersebut dan menepis tangan pencuri itu.

"Sejak kejadian itu, saya belajar untuk lebih berhati-hati dengan barang-barang saya. Kita juga perlu berani melawan. Kalau ada yang cuba mengambil barang kita, kita mesti jerit!" tegasnya.

Barangan yang dibawa ketika melancong pastinya berbeza mengikut keperluan masing-masing. — Gambar hiasan/Freepik

Barang wajib dibawa semasa travel

Selain berkongsi pengalaman mereka, selebriti ini juga menyenaraikan lima barangan wajib yang mereka bawa ketika bercuti.

Antara yang paling kerap disebut adalah telefon bimbit, power bank, tisu basah, sanitizer dan pasport.

"Tisu basah wajib! Tak ada anak pun memang wajib ada tisu basah," kata Dayana.

Faa Firds pula menambah mini telekung dan gula-gula sebagai barang wajib bagi memastikan keselesaan semasa perjalanan.

Dari pengalaman tersesat di kota asing hingga berdepan dengan situasi cemas, perkongsian ini memberikan pengajaran kepada para pelancong agar lebih berhati-hati dan bersedia dalam setiap perjalanan mereka.

Kisah-kisah yang dikongsikan ini menjadi pengajaran berharga kepada sesiapa sahaja yang ingin melancong sama ada secara solo, bersama pasangan atau keluarga.

Perancangan rapi, sikap peka terhadap persekitaran dan kesedaran keselamatan adalah kunci kepada perjalanan yang selamat dan menyenangkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram