BAGI kebanyakan pesara, tempoh selepas pencen daripada dunia pekerjaan dimanfaatkan untuk menjalani hidup yang lebih tenang.
Bagi Katiravan Subarayan, dia bakal memulakan salah satu pengembaraan terhebat dalam hidup iaitu perjalanan solo mengelilingi dunia dengan motosikal berkuasa besar.
Lebih menarik, perjalanan tersebut bukan sekadar trip makan angin sebaliknya bekas pengurus penyelenggaraan dan elektrik di sebuah syarikat swasta itu mahu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha menentang pemanasan global dan perubahan iklim.
Pesara berumur 61 tahun itu berpengalaman dalam pengembaraan motosikal memandangkan dia pernah menyertai perjalanan solo selama 64 hari melalui tujuh negara Asia iaitu Thailand, Myanmar, India, Bhutan, Nepal, Pakistan dan Bangladesh.
Katiravan mengibarkan Jalur Gemilang di Khardung La, iaitu salah satu laluan motosikal tertinggi di dunia ketika pengembaraannya pada 2018. — Ihsan Katiravan
Pengembaraan itu antara memori indah dalam hidupnya kerana berpeluang menanam pokok neem di Mandi Dabwali yang terletak di sempadan Punjab-Haryana, India.
"Saya mahu melakukan pengembaraan ini untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar dan pemanasan global.
"Ini adalah perjalanan paling mencabar yang pernah saya lakukan. Saya agak gementar, tetapi dengan izin Tuhan, saya percaya ia boleh dilakukan," katanya kepada Majoriti.
Mengulas mengenai pengembaraan itu, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia akan memulakan perjalanannya dari Batu Caves, Selangor pada 1 Januari tahun depan.
Dia akan menunggang motosikal jenis BMW R 1200cc GSA itu ke Singapura. Dari situ, motosikal berkuasa besar yang dinamakan Parameswara itu akan dihantar ke Indonesia melalui pengangkutan laut.
Setibanya di Indonesia nanti, Katiravan akan meneruskan perjalanan ke Timor Leste sebelum ke Australia dan New Zealand.
Menurut Katiravan lagi, Korea Selatan dan Jepun juga ada dalam senarai destinasi yang ingin dituju.
"Dari situ, saya merancang untuk menjelajah Rusia, Mongolia dan 41 negara lain di Eropah.
"Selepas itu, saya mahu ke Maghribi, Kanada, Amerika Syarikat, Alaska, Amerika Tengah, Amerika Selatan, Afrika Utara dan Timur Tengah, Asia Tengah sebelum kembali ke Asia Tenggara dan pulang ke Malaysia," katanya.
Katiravan (dua kanan) bergambar bersama rakan bikers ketika mengembara ke Khardung La pada 2018. — Ihsan Katiravan
Katiravan berkata, dia akan menunggang motosikal melalui semua laluan darat dan membawa kenderaan itu melalui pengangkutan udara dan laut apabila tiba masanya untuk menyeberangi lautan.
Keseluruhan perjalanan itu meliputi kira-kira 110,000 hingga 120,000 kilometer (km) dan dianggarkan mengambil masa antara 19 hingga 20 bulan.
"Saya merancang untuk mengembara melalui kira-kira 106 negara namun jumlahnya mungkin bertambah jika sekatan perjalanan tertentu sedang dilaksanakan atau ditarik balik," katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai motosikalnya, Katiravan berkata, kenderaan tersebut dibeli pada 2017 dan dilengkapi dengan pemanas tangan, peranti GPS, dan fungsi auto-cruise.
Ia turut memiliki tayar tanpa tiub yang diimport dari Jerman, dan tangki 30 liter untuk perjalanan sejauh 600km.
"Saya akan berada di atas motosikal selama kira-kira lapan hingga sembilan jam sehari dan berehat pada waktu malam di hotel, asrama, rumah tamu atau apa sahaja tempat berteduh yang ditemui termasuk berkhemah di negara yang membenarkannya.
Katiravan di Patsio, India ketika mengembara ke negara itu pada 2018. — Ihsan Katiravan
Ditanya mengenai cabaran, Katiravan berkata, masalah bahasa dan kerenah imigresen di sempadan yang kadang kala boleh menjadi rumit, antara halangan yang bakal ditempuhi.
“Saya membuat semua persiapan yang diperlukan termasuk memastikan isteri saya dijaga ketika ketiadaan saya," katanya yang disokong ahli kelab motosikalnya, Galaxy Bikers.
Pada masa sama, Katiravan berkata, dia turut mencari penaja berpotensi kerana keseluruhan perjalanan dijangka menelan belanja kira-kira RM600,000.
"Sebelum ini, saya menjual salah satu hartanah yang dimiliki untuk menampung perbelanjaan perjalanan itu, namun ekonomi yang lemah ditambah ringgit yang menyusut membuatkan dana yang dikumpul semakin merosot," jelasnya.
Lelaki yang berasal dan menetap di Bukit Asahan, Melaka itu memberitahu, sebagai persediaan menghadapi pengembaraan tersebut, dia menghabiskan lapan hingga sembilan jam sehari meneliti laluan dan rangkaian antarabangsa.
Dia juga menjaga kecergasan dengan berjoging dan bersenam secara tetap untuk memastikan kesihatannya sentiasa di tahap optimum.
"Pengembaraan ini bukan satu perkara mudah, lagi-lagi di usia emas. Tapi saya ingin buktikan kepada orang ramai bahawa ia boleh dilakukan," katanya yang menjadikan bapanya sebagai sumber inspirasi.
Ujar Katiravan, bapanya mendedahkan dia kepada kepentingan menjaga alam sekitar sejak usia kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram