
SEPASANG suami isteri yang juga warga Jerman berdepan detik ngeri selepas kedua-dua mereka dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang melintas di lintasan belang (zebra) di pantai peranginan dekat Phang Nga, wilayah Selatan Thailand pada Selasa.
Lebih menakutkan, kejadian tersebut turut hampir meragut nyawa anaknya yang ketika itu sedang di dalam kereta sorong bayi yang ditolak di hadapan si isteri.
Insiden tersebut turut dirakam dan dikongsikan oleh persatuan pelancongan di negara tersebut.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Di dalam klip tersebut, sepasang suami isteri dilihat sedang melintas di lintasan belang sambil membawa anak mereka yang berada di dalam kereta sorong.
Bagaimanapun, ketika sudah berada hampir di tengah-tengah jalan, sebuah trak pikap yang dipandu laju dilihat secara tiba-tiba meluru ke arah pasangan itu dan merempuh pasangan terbabit sehingga menyebabkan mereka terpelanting beberapa meter.
Bagaimanapun, bayi yang berada di dalam kereta sorong terbabit terselamat kerana berada hanya beberapa sentimeter di hadapan ibu bapanya.
Polis tempatan kemudiannya mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan memaklumkan kedua-dua pelancong terbabit dilaporkan tercedera dan sedang dirawat di hospital.
Suami isteri terbabit yang hanya dikenali sebagai Philip dan Linda masing-masing berusia 34 tahun dan 32 tahun, sementara bayi yang tidak didedahkan identiti itu pula berusia satu tahun 11 bulan.
Dalam pada itu, pemandu trak pikap jenis Toyota dengan nombor plat wilayah Phang Nga itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 60 tahun dan sedang disiasat.
Polis juga dilaporkan sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perniagaan Pelancongan Wilayah Phang Nga, Lertsak Pon Klin turut mengeluarkan peringatan untuk pemandu di wilayah terbabit supaya lebih berwaspada ketika memandu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram