Seramai 11 pendulang emas dibunuh kejam, ambil masa 3 hari dibawa keluar guna helikopter


  • Benua
  • Ahad, 13 Apr 2025

Seramai 11 pendulang emas maut dalam serangan bersenjata di Pegunungan Papua, Indonesia pada 6 hingga 7 April lalu. — Agensi

SERAMAI 11 pendulang emas yang maut dalam serangan kumpulan penjenayah bersenjata ditemui di beberapa lokasi iaitu di Kem 22, Muara Kum dan kawasan perlombongan di sepanjang Sungai Silet, Yahukimo, Pegunungan Papua, Indonesia. 

Ketua Polis Daerah Papua, Patrige Rudolf Renwarin berkata, kesemua mayat mangsa bagaimanapun mengambil masa tiga hari untuk dibawa keluar.

Katanya, operasi tersebut dilakukan sejak Khamis lalu dan selesai pada Sabtu menggunakan helikopter. 

BACA LAGI: Pernah turun misi bantuan tsunami pertama Aceh, sukarelawan wanita MyCARE anggap Syawal perkongsian raya dengan individu memerlukan

BACA LAGI: Dari Bangi ke Sabah, Afiqah pelopor wanita dalam dunia perlombongan emas

Kesemua mayat mangsa dibawa keluar menggunakan helikopter.— Agensi

"11 mayat itu sudah dipindahkan oleh pasukan gabungan Tentera Nasional Indonesia (TNI)  Polri ke Dekai, Yahukimo. 

"Kesemua mangsa didapati dibunuh menggunakan senjata tajam seperti parang, kapak dan anak panah.

"Kecederaan dialami mangsa berpunca daripada senjata tajam tersebut dan tiada kesan cedera akibat senjata api," katanya. 

Beliau berkata, 92 orang lagi bagaimanapun berjaya melarikan diri dari tapak perlombongan di Pegunungan Bintang menuju ke Bogen Digoel dengan seorang daripada mereka disahkan maut.

Pada masa sama, seramai 66 orang dari Yahukimo melarikan diri ke Kabupaten Asmat dan dua daripadanya berjaya ke Dekai dengan bantuan pasukan TNI.

"Siasatan kes sedang dijalankan bagi membongkar siapa pelaku di sebalik serangan kejam ini," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Operasi Pasukan Petugas Keamanan Cartenz, Faizal  berkata, terdapat 307 anggota gabungan TNI-Polri terlibat dalam memindahkan mayat 11 pendulang emas itu.

Sebelum ini, satu kejadian serangan dilaporkan berlaku di kawasan terbabit pada 6 hingga 7 April lalu serta mengorbankan seramai 11 pendulang atau pelombong emas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram