![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/30/3143354.jpg)
SIAPA sangka, usahawan Muslim berketurunan Iraq-Amerika ini mampu mengukir nama besar dalam industri kecantikan global dengan jenama kosmetiknya sendiri.
Huda Kattan, yang juga pengasas jenama kosmetik terkenal, Huda Beauty kini dikenali sebagai salah satu ikon dalam dunia kecantikan.
Dilahirkan pada 1983 di Oklahoma, Amerika Syarikat, Huda pada awalnya memilih kerjaya dalam bidang kewangan sebelum menukar haluan untuk mengikuti minatnya dalam dunia kecantikan.
BACA LAGI: [VIDEO] E-Sukan VR pertama di Malaysia, rasai pengalaman futuristik di EVA Sungai Long
Huda Kattan mengukir nama besar dalam industri kecantikan global
Keputusan beraninya untuk menubuhkan Huda Beauty pada 2013 membuahkan hasil lumayan apabila jenama berkenaan menjadi antara yang paling berpengaruh di dunia.
Dengan lebih 54 juta pengikut di media sosial, Huda bukan sahaja dikenali sebagai seorang usahawan berjaya tetapi juga sebagai seorang tokoh yang lantang menyuarakan isu-isu sosial.
Kejayaannya dalam dunia kecantikan tidak hanya terletak pada produk, namun pada usahanya yang mencetus inspirasi kepada wanita di seluruh dunia untuk menghargai kecantikan diri sendiri.
Kini, Huda melangkah lebih jauh dengan projek terbarunya, Huda Hotline iaitu sebuah podcast yang membincangkan cabaran dalam dunia perniagaan, realiti kejayaannya dan perjuangannya menentang standard kecantikan yang tidak realistik.
Bermula pada Khamis, podcast tersebut boleh dinikmati di YouTube Shorts, Instagram dan TikTok dengan memberi ruang untuk perbincangan terbuka mengenai kecantikan dari perspektif dalaman dan luaran.
Lebih menarik, kejayaan Huda tidak hanya terhad kepada dunia kecantikan.
Beliau juga dikenali sebagai aktivis yang lantang memperjuangkan keadilan sosial terutamanya dalam isu Palestin.
Walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak, Huda tetap tegas mempertahankan pendiriannya dan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap rakyat Palestin.
Tindakan beraninya itu turut menyebabkan hubungan persahabatannya dengan pelakon terkenal, Eva Longoria terputus.
Huda Kattan kini dikenali sebagai usahawan yang paling berpengaruh di dunia.
Dalam satu temubual bersama wartawan, Mehdi Hasan di podcast We’re Not Kidding, Huda mengakui terpaksa berpisah dengan beberapa rakan yang memilih untuk menyokong rejim Israel dalam konflik bersama Palestin.
Meskipun sukar, Huda tetap berpegang pada prinsipnya dan menyeru rakan-rakannya untuk ambil peduli dengan realiti yang berlaku di Palestin.
“Saya benar-benar kecewa dengan Eva (Longoria).
“Dia sepatutnya seorang yang memperjuangkan kemanusiaan, tetapi apabila keadaan memerlukan, saya mula melihat siapa dia sebenarnya," kata Huda.
Keberanian Huda dalam menyuarakan pendapatnya tentang keadilan membuktikan bahawa seorang usahawan Muslim bukan sahaja mampu berjaya dalam perniagaan tetapi juga boleh menjadi kekuatan buat individu yang tertindas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram