Ella Martin wanita pertama juara pertandingan pandu traktor, pecah rekod acara tradisi 37 tahun


  • Benua
  • Selasa, 18 Mac 2025

Ella Martin, 17, memenangi pertandingan tarik traktor di Northland Field Days tahun ini, kali pertama dalam 37 tahun seorang wanita merangkul gelaran itu.

MENJADI satu-satunya wanita bertanding dalam pertandingan tarik traktor di Northland Field Days, Ella Martin mengakui pertandingn tahun ini sesuatu yang agak mendebarkan.

Namun, usai pertandingan itu selesai, remaja berusia 17 tahun itu terkejut diumumkan juara, sekali gus melakar sejarah sebagai wanita pertama memenangi gelaran itu sejak 37 tahun pertandingan diperkenalkan.

“Saya satu-satunya perempuan bertanding selama dua tahun kebelakangan ini dan agak menakutkan kerana bersaing dengan peserta lebih berusia daripada saya,” kata Martin.

BACA LAGI: Cintakan si bulus jalanan, Nur Amira 'korban' impian ke Istanbul, wang melancong RM24,000 bina tempat perlindungan di Johor Bahru

BACA LAGI: 'Ready-to-wear' atau tempah khas, ini jenama fesyen raya pilihan Daiyan, Syamim dan Dynas

“Namun begitu, sangat gembira apabila berjaya ke peringkat akhir, sekali gus menang, perasaan ini sukar untuk digambarkan.”

Pertandingan tarik traktor adalah acara tradisi di Northland Field Days di Dargaville, yang menarik seramai 20,000 pengunjung tahun ini.

Menurut penganjur John Phillips, pertandingan berkenaan menguji kemahiran dan pengalaman memandu traktor.

Peserta akan dinilai cara pemanduan dan menukar gear yang betul sepanjang memandu di trek.

Menurut Martin, beliau memutuskan untuk menyertai pertandingan berkenaan bermula tahun lalu selepas melihat abang-abangnya yang bertanding sebelum ini.

Walaupun tidak mempunyai banyak pengalaman pada waktu itu, remaja wanita itu berjaya memenangi perlumbaan peringkat pertama, namun tewas perlumbaan kedua.

Fasa akhir Martin yang perlu bersaing dengan dua lagi peserta melibatkan tiga perlumbaan.

Sejak itu, beliau akan memandu traktor apabila berpeluang termasuk bekerja sambilan di ladang milik rakan keluarganya, Ros dan Colin Simpson, yang turut meminjamkan traktor untuknya berlumba.

Untuk mara ke peringkat akhir, Martin perlu memenangi semua perlumbaan termasuk dua perlumbaan menentang bapa teman lelakinya, Shane Phillips, yang merupakan juara  sebelum ini dan anak kepada penganjur pertandingan, John Phillips.

Pada perlumbaan akhir, beliau bertanding menentang dua pemandu lain termasuk seorang rakannya dalam tiga pusingan. Bagaimanapun, Martin tidak sedar telah menjuarai pertandingan sehingga keputusan diumumkan.

Dalam pada itu, Martin berharap lebih ramai wanita turut mencuba dan menyertai pertandingan berkenaan.

“Saya rasa memandu traktor sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi lelaki, tetapi sangat hebat untuk seorang perempuan tahu cara mengendalikannya.

"Walaupun saya masih belajar, tetapi pengalaman ini sangat menyeronokkan kerana dapat melakukannya," jelasnya.

Bekas pelajar Kamo High School itu kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perbidanan di Auckland dan tidak sabar meniti alam kerjaya kelak.

Pun demikian, Martin menjelaskan bahawa kemahiran memandu traktor adalah sesuatu yang baik dijadikan pilihan sampingan, termasuk pekerjaan semasa cuti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram