Cintakan si bulus jalanan, Nur Amira 'korban' impian ke Istanbul, wang melancong RM24,000 bina tempat perlindungan di Johor Bahru


Sayang Amira terhadap kucing terbukti melalui kesanggupannya menggunakan duit simpanan ke Istanbul untuk membina rumah perlindungan kucing. — Agensi

PENCINTA kucing dari Singapura, Nur Amira Jumali pada asalnya menyimpan wang sebanyak RM24,000 untuk melancong ke Istanbul, Turkiye, bagi melihat kucing jalanan di sana.

Namun, memetik laporan Agensi, beliau memutuskan untuk menggunakan wang tersebut bagi membina tempat perlindungan untuk kucing jalanan di Johor Bahru, Johor, yang mana baginya lebih bermakna dan memberi manfaat jangka panjang.

“Jika ke Istanbul, saya hanya akan berada di sana dalam tempoh 10 hingga 12 hari. Namun, jika wang ini digunakan untuk membina sesuatu yang boleh memberi manfaat berpanjangan kepada kucing-kucing jalanan di Johor Bahru, impaknya lebih besar,” katanya.

BACA LAGI: Anak sumber kekuatan, enggan kalah Michelle bangkit cipta snek artisanal Kintry, kini tembus pasaran luar negara

BACA LAGI: [VIDEO] Empat kru kabin wanita Orang Asli cipta sejarah tersendiri, titip pesan jangan takut keluar kepompong

Meskipun tempat perlindungan siap dalam tempoh dua bulan, namun masih terdapat kerosakan pada bumbung. Agensi

Untuk membiayai projek berkenaan, Nur Amira mengumpul dana melalui jualan sampul duit raya pada 2024, tetapi hanya berjaya memperoleh sekitar RM3,500, sedangkan kos keseluruhan pembinaan dianggarkan berjumlah RM27,000.

“Oleh sebab itu, saya membuat keputusan menggunakan wang simpanan sendiri bagi menampung kos selebihnya,” ujar Nur Amira yang berkhidmat sebagai kaunselor perkahwinan.

Walaupun tempat perlindungan itu siap dalam tempoh dua bulan, terdapat kerosakan seperti lubang pada bumbung yang memerlukan penambahbaikan, sekali gus meningkatkan kos.

Jual sampul raya

Tahun ini, beliau meneruskan jualan sampul duit raya bagi menampung kos naik taraf untuk memastikan keselamatan kucing yang berlindung di sana.

“Hasil jualan sepenuhnya akan digunakan untuk pemasangan kipas, dawai pagar, dan sistem saliran air,” katanya.

Minatnya dalam membantu kucing jalanan bermula pada 2022 selepas melihat banyak haiwan berkenaan yang tidak dimandulkan di negeri tersebut.

Sampul duit raya yang dihasilkan oleh Nur Amira bertujuan mengumpul dana untuk membina tempat perlindungan khusus kucing jalanan. Agensi

"Saya juga pernah terjumpa lebih 20 ekor anak kucing dalam kotak besar," ujarnya.

Keprihatinannya terhadap isu itu mendorong beliau melancarkan inisiatif Project Help Meow pada Februari 2023 bertujuan menangkap, memandulkan dan melepaskan semula kucing jalanan untuk mengawal populasi mereka.

Proses tersebut dikenali sebagai Trap-Neuter-Return (TNR).

Beliau bekerjasama dengan Noah’s Ark Animal Birth Control Clinic di Johor Bahru bagi menjalankan rawatan dan prosedur pemandulan.

Setiap sesi TNR menelan kos sekitar RM7,000 dan mampu menampung sehingga 50 ekor kucing. Pada 8 Mac, beliau merancang satu lagi sesi TNR dan sedang mencari sukarelawan.

“Saya melakukan semua ini kerana ingin menyokong mereka yang tidak mampu menjaga diri sendiri, termasuk haiwan.

“Pendekatan ini juga saya terapkan dalam profesion sebagai kaunselor perkahwinan.

“Bagi saya, membelanjakan wang untuk kebajikan kucing jalanan bukanlah satu pembaziran kerana saya percaya mereka juga mempunyai perasaan dan berhak menerima kasih sayang,” luahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram