
HARI Raya Aidilfitri merupakan satu perayaan yang amat dinantikan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Sambutan ini bukan sahaja membawa makna kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga menjadi waktu untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
Salah satu elemen penting dalam menyambut Syawal adalah pemilihan baju raya yang bukan sahaja melambangkan kemeriahan perayaan, tetapi juga menyerlahkan identiti dan cita rasa individu.
Rizman Ruzani, Mimpi Kita dan Innai antara jenama fesyen tempatan menjadi tumpuan menjelang Aidilfitri.
Di Malaysia, pemilihan baju raya sering menjadi satu perbualan yang menarik, terutamanya dalam kalangan selebriti.
Setiap tahun, ramai yang berkongsi jenama dan pereka fesyen pilihan mereka, sekali gus memberikan inspirasi kepada peminat.
Justeru, tidak mahu menunggu hari raya, Majoriti mendapatkan beberapa selebriti terkenal untuk berkongsi tentang baju raya mereka serta jenama pilihan masing-masing.
RTW vs tempah khas
Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, menyatakan bahawa tahun ini beliau tidak memakai baju raya dari jenama tempatan, sebaliknya memakai baju raya yang dibeli oleh ibunya di Indonesia.
"Tahun ini tiada jenama sebab ibu beli baju raya dari Indonesia. Dia beli untuk satu keluarga terus. Hari pertama raya selalunya memang akan ikut ibu," kata wanita berusia 32 tahun itu
Namun begitu, Daiyan berkongsi beberapa jenama tempatan yang menjadi kegemarannya ketika hari raya.
"Saya banyak pakai Innai Red dan Rizman Ruzaini. Mimpikita pun saya selalu pakai," kata Daiyan yang lebih menggemari baju raya jenis ready-to-wear (RTW) kerana lebih selesa dipakai ketika bergerak di kampung.
Mengulas mengenai pilihan warna, kata Daiyan, tahun ini beliau memilih baju raya berwarna hijau dengan corak krim untuk hari pertama Syawal.
Sementara itu, pelakon, Toh Puan Syamim Farid tetap setia dengan jenama Samm Republic.
"Sudah tentu memang setiap tahun Syamim akan pakai daripada Samm Republic. Jadi, tahun ini masih yang sama juga," ujarnya.
(Dari kiri) Antara koleksi raya Samm Republic, Mimpikita dan Maslea menjadi pilihan bagi Syamim, Daiyan dan Dynas.
Tidak seperti Daiyan yang memilih ready-to-wear, Syamim lebih gemar baju raya yang dibuat khas (custom).
"Sebab kita nak sesuatu yang berbeza, mengikut kehendak kita sendiri, mengikut cita rasa kita sendiri," ujarnya yang juga merupakan pengacara.
Pun begitu, warna baju rayanya tahun ini masih dalam perancangan, tetapi beliau sudah menyediakan tiga pilihan iaitu hijau, ungu atau warna nude.
Jahit sendiri
Bagi Dynas Mokhtar, beliau lebih suka menjahit sendiri bajunya dengan menggunakan kain lebihan yang ada.
"Ramai orang tak tahu yang saya sebenarnya ada tukang jahit dan jenama sendiri. Tetapi, jarang jual di Malaysia," katanya.
Tahun ini, Dynas memilih untuk memakai baju rekaan Maslea.
Selain itu, Dynas juga masih dalam proses membeli baju tambahan kerana beliau lebih gemar membeli mengikut keperluan.
Ibu kepada dua orang anak itu turut berkongsi bahawa beliau akan menjahit bajunya sendiri pada malam raya.
"Esok raya kan? Malam tu saya akan menjahit lagi!," katanya sambil ketawa.
Berbeza dengan selebriti lain yang membeli lebih awal, Dynas lebih santai dalam membuat persiapan dan sering menyelesaikannya pada saat akhir.
Bagi pempengaruh, Fatin pula, Mimpikita menjadi kegemarannya selama dua tahun berturut-turut.
"Mimpikita ialah jenama yang paling saya gemar dan jenama kedua yang menarik perhatian saya tahun ini ialah Shals," katanya.
Beliau biasanya menyediakan tiga pasang baju raya tetapi kadang kala boleh mencecah empat pasang jika ada rekaan yang menarik perhatiannya.
Tahun ini, beliau memilih warna merah burgundy untuk hari pertama dan hitam untuk hari kedua.
"Setiap tahun, saya pastikan ada mood board untuk baju raya saya. Saya juga pastikan keluarga saya akan memakai warna yang sedondon," katanya yang dikenali sebagai perancang utama pakaian raya keluarganya.
Fatin juga antara mereka yang membeli baju raya lebih awal untuk memastikan semuanya mengikut tema dan perancangan yang dibuat.
Selain baju raya, para selebriti ini juga berkongsi tentang tiga barang wajib yang mereka bawa balik kampung.
Daiyan tidak boleh berpisah dengan buku, headphone dan kipas tangan.
"Balik kampung panas, jadi kipas tangan wajib ada!," katanya berseloroh.
Syamim pula membawa baju raya, kuih raya dan bunga api untuk memeriahkan suasana.
Dynas lebih praktikal dengan membawa kipas tangan, t-shirt untuk memudahkan kerja rumah, dan getah rambut.
"T-shirt senang nak basuh pinggan kat belakang," katanya.
Manakala Fatin memastikan untuk membawa beg solek, pewarna rambut, dan syampu untuk memastikan penampilannya sentiasa rapi sepanjang hari raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram