Ibu bapa cepat menghukum, kritik punca anak remaja enggan kongsi masalah, cuba'deep talk'


  • Relaks
  • Isnin, 10 Feb 2025

Komunikasi yang mendalam antara ibu bapa dan anak adalah penting bagi memastikan kesejahteraan emosi anak-anak.

SETIAP anak pasti inginkan ibu bapa yang boleh menjadi pendengar dan penyelesai masalah dihadapi. Namun, segelintir anak berasa bahawa ibu bapa bukanlah pendengar yang baik, malah cenderung menjadi reaktif dan cepat menghukum.

Tindak balas seperti ini menyebabkan anak tertekan dan enggan berkongsi masalah. Akibatnya, mereka lebih memilih meluahkan perasaan dengan orang luar seperti rakan sebaya.

Dalam dunia serba moden antara cabaran utama dihadapi oleh ibu bapa adalah bagaimana membina komunikasi mendalam atau deep talk dengan anak remaja.

Komunikasi yang jujur dan terbuka antara dua hala kunci kepada hubungan erat, namun sering kali terhalang oleh perbezaan generasi, kesibukan atau kekangan masa.

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Bongkar! Modal keras, kedai vape kena gelapkan cermin

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Perokok, vape perhabis ribuan ringgit setahun

friends

Segelintir anak remaja lebih memilih rakan untuk menjadi pendengar masalah berbanding ibu bapa. — Gambar hiasan/Freepik

Suridah Basari, 59, ibu kepada empat cahaya mata berkata, sesetengah ibu bapa sukar mendekati anak-anak kerana perbezaan latar belakang, selain kesibukan kerjaya.

“Kadangkala tidak rapat seperti ada jurang atau mungkin ibu bapa tidak tahu cara untuk mendekati,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, ibu bapa hari ini perlu membesarkan anak-anak seiring peredaran masa. Beliau mengakui berdepan dengan cabaran mendidik anak-anaknya berikutan dunia kini lebih terdedah pengaruh negatif.

"Walaupun mengikut peredaran zaman, tetapi ibu bapa perlu ada batas. Bagi mereka pilihan kerana remaja sekarang tidak boleh diberi tekanan. Maknanya, kita (ibu bapa) jangan terlalu ikut acuan sendiri," tegasnya,

Jelas Suridah lagi, ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik dan memberi sokongan tanpa menghakimi kerana anak-anak sedang melalui proses pembelajaran hidup.

“Kita perlu terima apa yang anak ingin lakukan, namun pada masa sama sentiasa memantau dan berdoa semoga mereka tidak tersasar,” ujar Suridah.

WhatsApp Image 2025-01-17 at 8.09.22 PM

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Nen, turut mengulas isu ini.

Siapa sangka, soalan seperti 'dah makan ke belum?' sering didengari hari-hari adalah menandakan keprihatinan seseorang, tetapi juga boleh menggambarkan kegagalan dalam komunikasi khusus melibatkan ibu bapa dan anak-anak remaja. Mengapa ia terjadi?

Dr. Salina mendedahkan salah satu kajian dijalankan oleh pelajarnya terhadap anak-anak yang ditempatkan di pusat pemulihan selepas terlibat dalam beberapa kes keganasan.

"Satu perkara dalam kajian itu adalah soalan yang menyentuh mengenai bagaimana komunikasi mereka bersama ibu bapa.

"Hasil kajian menemui, ibu bapa mereka mengamalkan komunikasi superficial. Sebagai contoh, 'dah makan ke belum?', itu sahaja.

"Bukan hanya sekadar bertanya 'dah makan ke belum?', tetapi lebih bertanya bagaimana perasaan mereka hari ini dan apa membuatkan mereka sedih atau gembira. Ibu bapa tidak menyentuh emosi dan di sinilah dipanggil deep talk," ujarnya.

Menurut beliau, komunikasi mendalam antara ibu bapa dan anak adalah penting bagi memastikan kesejahteraan emosi anak-anak.

Kata beliau, salah satu masalah utama sering dihadapi oleh anak-anak adalah ketidakmampuan ibu bapa memahami dan mendengar luahan emosi mereka, yang akhirnya menjejaskan kesihatan mental.

Hal itu menjadikan anak terlibat enggan menjadikan ibu bapa sebagai tempat mendengar dan mendapatkan nasihat, sebaliknya lebih gemar untuk meluahkan masalah dengan rakan.

Dr. Salina menjelaskan, sesetengah ibu bapa juga cenderung bersikap reaktif dalam berkomunikasi terutamanya apabila anak-anak menyuarakan masalah.

"Ada ibu bapa lebih bersikap reaktif. Mereka tidak cuba untuk faham situasi anak, sebaliknya mengkritik dan tidak memberi apa-apa solusi. Tidak kisah perasaan anak mereka," katanya.

Sikap tersebut, menyebabkan anak-anak berasa suara mereka tidak didengari dan perasaan tidak dihargai, maka secara tidak langsung menjauhkan diri.

2364603

Segelintir ibu bapa berasakan pandangan mereka adalah 'undang-undang' sehingga anak-anak jadi lebih tertekan. — Gambar hiasan

Antara isu utama sering berlaku apabila ibu bapa membuat keputusan besar dalam kehidupan anak-anak seperti memilih aliran pendidikan atau kursus di universiti tanpa mendengar pandangan mereka.

"Maksudnya, apabila buat keputusan, mereka tidak pernah mengambil kira pandangan anak-anak. Pandangan mereka adalah 'undang-undang' terutamanya melibatkan masa depan. Suka atau tidak, anak kena ikut.

"Apabila anak-anak terpaksa mengambil kursus tidak diminati hanya kerana memenuhi kehendak ibu bapa, mereka akan tertekan dan murung," ujarnya.

Selain itu, Dr. Salina menasihatkan menjadi ibu bapa adalah proses pembelajaran yang berterusan.

"Semua orang boleh berkahwin, tetapi nak jadi ibu bapa yang baik adalah kemahiran dan pembelajaran dari semasa ke semasa.

"Kadang-kadang kita ada kelemahan dan kena sentiasa perbaiki hubungan dengan anak remaja," jelasnya.

Dr. Salina mengingatkan ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak hanya terbatas kepada memenuhi keperluan fizikal anak, tetapi juga kesejahteraan emosi.

Beliau menambah, ibu bapa perlu sedar bahawa perasaan anak-anak juga penting, selain perlu lebih peka dalam membina komunikasi yang lebih mendalam.

Melalui cara tersebut, hubungan antara ibu bapa dan anak-anak dapat diperkukuhkan, sekali gus meminimumkan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram