
DALAM perkahwinan, tanggungjawab antara suami dan isteri saling bergantung dan perlu dijalankan dengan penuh kejujuran serta kesepakatan.
Salah satu isu yang sering menjadi perbincangan dalam konteks perkahwinan adalah mengenai nusyuz iaitu ketidaktaatan isteri terhadap suami.
Dalam perundangan syariah, suami berhak untuk mengajukan tuntutan nusyuz sekiranya berasakan isteri tidak mematuhi kewajipan yang ditetapkan dalam perkahwinan.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Bongkar! Modal keras, kedai vape kena gelapkan cermin
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Perokok, vape perhabis ribuan ringgit setahun
Fatimah menasihatkan para isteri agar tidak mudah tertekan dengan ancaman atau dakwaan nusyuz yang ibuat oleh suami.
Namun, isteri juga mempunyai hak untuk mempertahankan diri apabila dakwaan tidak benar atau berlaku ketidakadilan dalam situasi tersebut.
Peguam syarie, Fatimah Majemi, menjelaskan tentang apa yang berlaku apabila seorang isteri menerima saman berkaitan dengan nusyuz.
Dalam situasi ini, isteri disarankan untuk tidak melatah dan segera membaca kandungan saman tersebut. Sekiranya dakwaan dirasakan tidak benar, maka isteri mempunyai hak untuk hadir ke mahkamah dan membela diri.
"Kalau terdapat dakwaan tak benar dan sebagainya, hadir ke mahkamah untuk membela diri," katanya kepada Majoriti.
Diancam
Salah satu isu yang dibincangkan adalah mengenai tempat tinggal isteri. Fatimah memberi contoh, sekiranya suami menyediakan rumah kelamin dan mengarahkan isteri untuk tinggal di situ, isteri tidak boleh keluar tanpa izin suami.
Bagaimanapun, ada keadaan tertentu apabila isteri boleh keluar tanpa dianggap nusyuz terutama berdasarkan alasan munasabah seperti ancaman keselamatan.
"Jika seorang isteri hidup dalam keadaan terancam seperti diugut bunuh oleh suami, maka dia boleh keluar rumah demi keselamatan diri. Itu tidak dikira nusyuz walaupun suami tidak mengizinkan isteri keluar rumah," ujarnya.
Umum mengetahui suami mempunyai kewajipan menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri.
Isteri boleh keluar tanpa dianggap nusyuz jika alasan munasabah seperti ancaman keselamatan. — Gambar hiasan/Freepik
Sekiranya suami gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut dan meminta isteri tinggal di tempat lain seperti rumah ibu bapa, isteri berhak untuk mencari tempat tinggal yang lebih selesa.
Jika dakwaan nusyuz timbul dalam keadaan ini, isteri boleh hadir ke mahkamah dan membela diri dengan menyatakan bahawa suami tidak menyediakan tempat tinggal yang sesuai.
"Apabila suami tak sediakan tempat tinggal dan minta duduk di rumah mak dia (mentua), isteri boleh keluar tinggalkan rumah kalau tidak selesa. Itu juga tidak dianggap nusyuz," ujarnya.
Fatimah menasihatkan para isteri agar tidak mudah tertekan dengan ancaman atau dakwaan nusyuz yang dibuat oleh suami.
Justeru, golongan isteri penting untuk mengetahui hak-hak yang ada, termasuk hak keluar dari rumah dalam situasi memerlukan.
Manakala suami tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh isteri nusyuz tanpa alasan yang sah dan mahkamah syariah akan menentukan sama ada dakwaan itu berasas atau tidak.
Pesanan Fatimah kepada isteri adalah untuk tidak takut menghadapi dakwaan nusyuz, selagi mana tahu hak-hak mereka.
Sebagai isteri, anda juga berhak melindungi diri demi memastikan kesejahteraan keluarga terjamin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram