SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut manakala lima ahli keluarganya parah dalam kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan lori treler di Kilometer 164.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Timur, Kuantan, Pahang pukul 1.50 pagi Jumaat.
Kanak-kanak itu, Muhammad Al Amin yang juga murid di Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Puchong, Selangor, bersama keluarganya ketika itu dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kenduri tahlil.
Namun, hasrat mereka untuk menghadiri majlis tersebut tidak kesampaian apabila MPV yang mereka naiki merempuh bahagian belakang lori treler yang berhenti di lorong kecemasan kerana tayar pancit.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara berebut angpau, 4 maut sesak nafas kena himpit di Kemboja
BACA LAGI: Gara-gara nak elak jalan tak rata, ibu dan bayi dalam 'stroller’ nyaris digilis bas di Brazil
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati lori treler berkenaan telah berhenti di lorong kecemasan dengan kon amaran diletakkan di bahagian belakang sebagai langkah keselamatan.
"Pemandu lori treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
"Akibat rempuhan itu, Muhammad Al Amin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya," katanya dalam satu kenyataan.
Kim Wai berkata, lima ahli keluarganya yang turut berada dalam MPV tersebut mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSAS) untuk rawatan lanjut.
Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, rakan salah seorang mangsa, Saidatul Waheeda Abdullah meluahkan rasa terkejut apabila menerima berita kemalangan membabitkan keluarga bagi pasangan suami isteri, Atissa Che Awang dan Aidil.
"Saya ingin mengucapkan salam takziah kepada Atissa Che Awang dan Aidil sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan jalan raya sekitar pukul 1 pagi tadi di Maran. Mereka satu pejabat dengan saya.
"Semoga urusan mereka dipermudahkan dan semoga Atissa serta anak yang sedang koma cepat sedar dan sembuh. Al-Fatihah untuk anak sulung mereka yang meninggal dunia dalam kemalangan ini," kata Saidatul dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut menceritakan perasaan terkejutnya apabila menerima berita duka itu melalui WhatsApp dari sepupu Atissa.
"Saya tengah bersiap untuk pergi kerja pagi tadi apabila dapat mesej dari sepupu Atissa.
"Rasanya seperti mimpi, mereka sekeluarga hendak pulang kampung untuk kenduri tahlil tetapi mereka terlibat dalam kemalangan ini,” ujarnya dengan sebak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram