TRAGEDI memilukan menggemparkan masyarakat Indonesia selepas seorang wanita membuat satu hantaran kisah duka mengenai kematian suaminya yang dilaporkan terkorban dalam kebakaran di Glodok Plaza dekat Jakarta Barat baru-baru ini.
Walaupun kejadian itu berlaku pada Rabu minggu lalu, namun pengakuan yang dikongsikan seorang wanita menerusi akaun TikTok, @akusuka575 dengan nama pemilik akaun, Hasya masih menjadi bualan dalam kalangan warga maya.
Dalam ruangan komen pada sebuah hantaran mengenai kebakaran tersebut, Hasya menulis bahawa suaminya adalah salah seorang mangsa yang maut.
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye
Menurut Hasya, tiga hari sebelum kejadian, suaminya meminta izin untuk pergi ke Surabaya, Indonesia atas faktor pekerjaan.
Namun, berita yang diterima daripada rakan sekerja suaminya mendedahkan sebaliknya yang mana si suami sebenarnya berada di sebuah pusat karaoke di lokasi kebakaran tragis itu.
"Salah seorang mangsa kebakaran adalah suami saya. Padahal tiga hari lalu dia minta izin kepada saya ada kerja di Surabaya, tapi petang tadi saya dimaklumkan rakannya yang suami berada di sana bersama wanita lain," tulis Hasya dalam komen tersebut.
Pendedahan itu telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang bukan sahaja meluahkan rasa simpati kepada Hasya, tetapi juga mengkritik tindakan si suami yang didakwa telah menipu dan curang pada isterinya.
Komen-komen seperti "Doa isteri tembus ke langit, mengaku pergi bekerja tetapi berhibur dengan perempuan lain," dan "katanya ke Surabaya, padahal di tempat lain dengan yang muda," membanjiri ruangan media sosial.
Tragedi berkenaan turut menyerlahkan kepiluan seorang wanita yang terpaksa menerima hakikat bahawa suaminya bukan sahaja meninggal dunia, tetapi juga telah mengkhianati kepercayaannya.
Namun, belum dapat dipastikan kesahihan pengakuan wanita berkenaan memandangkan belum ada pengesahan rasmi mengenai identiti mangsa yang maut dalam kebakaran di Tiyara Karaoke di Glodok Plaza.
Malah, ada dalam kalangan warga maya yang mendakwa Hasya sengaja mereka cipta untuk mendapatkan populariti semata-mata.
Namun, kisah tersebut telah menjadi perbincangan hangat, menggambarkan duka berganda yang dirasakan oleh keluarga mangsa.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sembilan maut dalam kebakaran di sebuah pusat beli-belah tersebut pada 15 Januari.
Kebanyakan mangsa yang terkorban sukar dikenal pasti dan perlu menjalani proses Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan punca kebakaran juga masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa tempatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram