SEORANG wanita, Anis Huda Amir Hamzah bersama suami dan tiga anaknya yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas telah selamat pulang ke rumahnya di Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Memetik laporan Kosmo!, bapa Anis Huda, Amir Hamzah Nordin, 65, berkata, anak perempuan sulungnya bersama suami dan juga tiga anak mereka pulang ke rumah sekitar pukul 11 malam.
"Alhamdulillah anak dan menantu serta anak-anaknya sudah balik. Terima kasih kepada semua rakan dan saudara mara," katanya pada Isnin.
BACA LAGI: Telefon dimatikan, adik rayu bantu cari kakak bersama 3 anak buah hilang sejak Sabtu
Anis Huda Amir Hamzah bersama suami dan tiga anaknya yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas telah selamat pulang ke rumahnya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan adik Anis, Afina Huda Amir Hamzah tampil membuat rayuan kepada orang ramai untuk membantu mencari kakaknya yang dilaporkan hilang.
Menurut Afina lagi, dia menjadi buntu apabila kakaknya yang bertugas sebagai seorang guru itu langsung tidak pulang ke rumah sejak Sabtu.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang mengesahkan lima beranak yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu telah selamat ditemui dan pulang ke pangkuan keluarga pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pasangan suami isteri dan tiga anaknya selamat pulang ke rumah miliknya kira-kira pukul 11.50 malam Ahad.
"Pengadu telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa kakaknya bersama keluarga telah pulang ke rumah dalam keadaan selamat.
"Pihak polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang membantu sehingga mangsa ditemui semula," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram