[VIDEO] Budak lelaki parah, melambung ke udara selepas bakar mercun dalam sistem pembetungan di China


  • Benua
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan kejadian seorang budak lelaki (dalam bulatan) cedera parah selepas insiden letupan mercun dalam sistem pembetungan di sebuah kawasan premis kedai di China pada Jumaat. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki parah selepas insiden letupan mercun dalam sistem pembetungan di sebuah kawasan premis kedai di China pada Jumaat.

Memetik laporan media antarabangsa, kejadian itu dilaporkan berlaku ketika mangsa yang tidak didedahkan namanya bermain mercun tanpa pengawasan di kawasan berisiko tinggi.

Difahamkan, letupan kuat berlaku apabila mercun yang dinyalakan menghasilkan letupan yang mencetuskan tindak balas dengan gas mudah terbakar yang terkumpul dalam sistem pembetungan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye

BACA LAGI: [VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil

Akibat letupan itu, mangsa melambung beberapa meter ke udara sebelum terhempas, menyebabkan kecederaan serius di beberapa anggota badan.

Beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian segera memberikan rawatan awal sebelum mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan.

Pihak perubatan melaporkan keadaan budak lelaki itu kritikal dengan rawatan intensif sedang dijalankan.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak yang bermain mercun tanpa pengawasan orang dewasa selepas video berkenaan tular pada hari yang sama.

Hal ini kerana, insiden seumpama itu kerap kali berlaku melibatkan kanak-kanak di bawah umur sehingga ada yang menyebabkan kematian.

Pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan amaran kepada ibu bapa dan penjaga agar lebih berhati-hati serta memantau aktiviti anak-anak mereka, terutamanya semasa musim perayaan.

Selain itu, pihak berkuasa juga menyeru orang ramai agar mematuhi peraturan larangan bermain mercun di kawasan tertentu seperti sistem pembetungan, yang boleh menjadi lokasi berisiko tinggi letupan akibat gas terkumpul.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan punca sebenar kejadian dan memastikan langkah keselamatan yang lebih ketat dapat dilaksanakan di kawasan kejiranan terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram