[VIDEO] 'Pekena' gam sebelum dera anak, budak 4 tahun maut hanya kerana muntah di pasar raya


  • Benua
  • Selasa, 14 Jan 2025

Mayat mangsa ditemui berbungkus dalam kain sarung di sebuah rumah kedai kosong di Kampung Jatibaru, Tambun Selatan, Indonesia pada 7 Januari lalu. — Agensi

KES kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditemui maut dalam keadaan berbungkus kain sarung di sebuah rumah kedai kosong di Kampung Jatibaru, Tambun Selatan, Indonesia pada 7 Januari lalu akhirnya terbongkar.

Dalam kejadian itu, polis mengenal pasti motif jenayah yang dilakukan oleh ibu bapa mangsa sendiri gara-gara berang ditegur oleh seorang pekerja di sebuah pasar raya.

Pegawai Polis Daerah Metro Jaya, Kombes Wira Satya Triputra berkata, kejadian berlaku selepas mangsa kerap kali muntah di lokasi yang sering dijadikan tempat untuk kedua-dua suspek melakukan aktiviti mengemis.

BACA LAGI: [VIDEO] Simen taman rekreasi di Bandung dicungkil-cungkil remaja taksub aplikasi buru syiling

BACA LAGI: Tingkat kesalinghubungan laluan udara, Pulau Pinang perkukuh sektor pelancongan di Malaysia di mata dunia

Beliau berkata, teguran itu membuatkan suspek berang lalu menyerang mangsa.

"Mereka bergilir-gilir memukul dan menendang mangsa sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

"Bapanya, AZR menendang mangsa sehingga terjatuh, kemudian menendang lagi pipi mangsa sehingga kepala berguling.

"Selepas mendapati anaknya tidak bernyawa, kedua-dua suspek bertindak membalut mayat mangsa dengan kain sarung sebelum melarikan diri," jelasnya.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan ketika sedang berehat di sebuah stesen minyak di Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

Katanya, AZR dan SD (ibu) belum berkahwin ketika kejadian.

"Sebelum menyeksa mangsa hingga mati secara bergilir-gilir, pelaku rupa-rupanya menghidu gam terlebih dahulu yang dibeli di pasar mini.

"Mangsa yang didera ditampar, dipukul dan ditendang mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

"SD meletakkan mayat mangsa yang dibalut dengan kain sarung di dalam rumah kedai sebelum melarikan diri," katanya.

Kedua-dua suspek kini berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun atas kesalahan membunuh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram