Dikata punca Man City merosot, Pep Guardiola berpisah dengan isteri lepas 30 tahun bersama


  • Podium
  • Selasa, 14 Jan 2025

Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola berpisah dengan isterinya, Cristina Serra selepas tiga dekad bersama.

DUNIA bola sepak dikejutkan dengan berita perpisahan jurulatih Manchester City, Pep Guardiola dengan isterinya, Cristina Serra selepas tiga dekad bersama.

Laporan akhbar Sport yang berpangkalan di Barcelona mendedahkan bahawa pasangan tersebut memilih untuk berpisah secara baik dan hubungan mereka kekal ramah, stabil dan mesra.

Cristina selama ini dikenali sebagai individu penting dalam kehidupan dan karier Guardiola, baik ketika beliau bergelar pemain mahupun selepas menempa nama sebagai jurulatih.

BACA LAGI: Gulai belut dan stimbot keju jadi tumpuan, ini 5 port makan tawar menu enak wajib singgah di Kelantan

BACA LAGI: Dari krim kek ke cat kanvas, Satira Diana gabung jawi, pantun Melayu klasik hasilkan karya sarat mesej mendalam

Namun, perpisahan itu menyerlahkan kedinamikan hubungan yang masih dihormati kedua-duanya walaupun laluan hidup mereka kini berbeza.

Difahamkan, Guardiola dan Cristina pertama kali bertemu ketika beliau berusia 18 tahun di sebuah kedai pakaian milik keluarga Cristina, Serra Claret di Barcelona.

Ketika itu, Guardiola bekerja sebagai model untuk pereka terkenal, Antonio Miro.

Perkenalan di kedai tersebut menjadi titik mula kisah cinta yang bertahan selama tiga dekad.

Walaupun hubungan mereka bermula pada usia muda, pasangan itu memilih untuk tidak terburu-buru dan hanya mendirikan rumah tangga pada 2014 dalam satu majlis tertutup di Catalonia, Sepanyol yang hanya dihadiri keluarga terdekat.

Cristina memainkan peranan besar dalam kehidupan Guardiola, bukan sahaja sebagai isteri tetapi juga penasihat fesyen peribadinya.

Dalam satu temu bual bersama Men In Blazers, Guardiola mengakui Cristina sering membantu memilih pakaian yang dipakai termasuk ketika beliau berada di tepi padang.

Sepanjang karier Guardiola yang sering berpindah lokasi, Cristina tetap memberikan sokongan padu.

Dia kerap berulang-alik antara Barcelona, Sepanyol dan London, England untuk bersama Guardiola, yang kini melatih Manchester City.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Maria, 24, Marius, 22, dan Valentina, 17.

Maria, anak sulung mereka, mencipta nama sebagai model terkenal dengan lebih 900,000 pengikut di Instagram.

Marius pula aktif dalam dunia perniagaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dengan dia mengendalikan tiga syarikat termasuk dalam sektor pengiklanan dan pemasaran.

Valentina yang merupakan anak bongsu mereka kini masih menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

Meskipun tidak dilaporkan secara meluas, perpisahan itu sudah tentu memberi kesan terhadap pengurusan Guardiola bersama Manchester City.

Ini juga boleh dikatakan antara punca pasukan itu menunjukkan kemerosotan kebelakangan ini, namun dilihat sudah kembali ke landasan perlahan demi perlahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram