[VIDEO] 'Saya fasih berbahasa Inggeris', Khabib Nurmagomedov dakwa pramugari biadab sebelum dihalau dari pesawat


  • Benua
  • Isnin, 13 Jan 2025

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Khabib mendakwa, sejak awal, pramugari yang datang untuk bertanyakan soalan kepadanya disifatkan berperlakuan biadab.

BEKAS juara dunia lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov tampil memberi penjelasan berhubung insiden tular yang menyaksikan beliau dihalau keluar dari sebuah pesawat milik syarikat daripada Amerika Syarikat (AS).

Kejadian itu sempat dirakam penumpang lain yang berada di dalam pesawat sebelum dikongsikan di media sosial pada Ahad.

Menerusi satu hantaran di laman X pada Isnin, Khabib terlebih dahulu menjelaskan bahawa insiden tersebut adalah melibatkan syarikat Frontier Airlines dan bukannya AlaskaAir seperti yang didakwa.

BACA LAGI: 'New era of Muay Thai', selain Jojo, Rifdean antara 3 mula tempa nama sukan tinju

BACA LAGI: 'Rumah saya belum siap', kunjungan Khabib ke Malaysia tinggalkan pesanan menusuk kalbu peminat

Mengulas mengenai kejadian tersebut, beliau mendakwa, sejak awal, pramugari yang datang untuk bertanyakan soalan kepadanya disifatkan berperlakuan biadab.

"Wanita yang datang kepada saya dengan soalan adalah sangat biadab dari awal, walaupun saya bercakap bahasa Inggeris yang sangat baik dan boleh memahami segala-galanya dan bersetuju untuk membantu, dia masih berkeras untuk menyingkirkan saya dari tempat duduk saya.

"Apakah asas untuk itu? Kaum, kewarganegaraan atau yang lain, saya tidak pasti," tulisnya.

Selepas dua minit bercakap dengan pramugari terbabit, Khabib berkata, petugas berkenaan bertindak menelefon pasukan keselamatan untuk menarik beliau keluar dari.

"Selepas satu jam setengah, saya menaiki pesawat syarikat penerbangan lain dan bertolak ke destinasi saya.

"Saya lakukan yang terbaik untuk kekal tenang dan bersikap hormat seperti yang anda boleh lihat pada video.

"Kru kapal itu boleh melakukan yang lebih baik pada masa akan datang dan tunjukkanlah sikap yang baik dengan pelanggan," ujarnya.

Terdahulu, tular video memaparkan Khabib dihalau dari sebuah penerbangan selepas dipercayai berlaku salah faham melibatkan tempat duduknya.

Saksi kejadian menyatakan bahawa Khabib yang duduk di barisan kecemasan ditanya sama ada dia berupaya membantu penumpang lain sekiranya berlaku kecemasan.

Soalan itu menimbulkan kekeliruan kerana peninju berusia 37 tahun itu tidak memahami maksud pramugari tersebut, hingga akhirnya membawa kepada sedikit pertengkaran.

Selepas meragui keupayaan Khabib untuk membantu dalam kecemasan, pramugari berkenaan kemudian memintanya berpindah tempat duduk, namun Khabib enggan berbuat demikian.

Khabib, yang jelas kelihatan kecewa menganggap situasi tersebut tidak adil baginya dan berterusan mengulangi bahawa itu adalah tempat duduknya.

Kakitangan itu juga dilihat enggan berbincang lebih lanjut dan memaklumkan bahawa mereka perlu menghubungi penyelia sekiranya peninju kelahiran Rusia berkenaan tidak mahu berpindah.

Khabib, yang memakai jaket biru kemudian meninggalkan tempat duduknya dan berjalan bersama pramugari ke bahagian hadapan pesawat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram