[VIDEO] Lapor 3 rakan setugas maut kemalangan di Gresik, 2 wartawan tahan sebak ketika liputan


  • Benua
  • Khamis, 31 Okt 2024

Keadaan kereta tvOne selepas dirempuh lori dari belakang di Lebuhraya Tol Jakarta-Pemalang, Jawa Tengah, pada pukul 6.45 pagi waktu tempatan. — Twitter

DUA orang wartawan wanita tidak dapat menahan sebak sewaktu melaporkan berita kemalangan tiga rakan setugas mereka maut dalam kemalangan tragis awal pagi Khamis ketika dalam perjalanan untuk membuat liputan di Gresik, Jawa Timur, Indonesia.

Tiga mangsa itu daripada sebuah stesen televisyen berpusat di Jakarta Timur, tvOne, maut selepas kereta pelbagai guna yang membawa mereka dirempuh lori dari belakang di Lebuhraya Tol Jakarta-Pemalang, Jawa Tengah, pada pukul 6.45 pagi waktu tempatan.

Menerusi video tular di laman Twitter (X) menyaksikan dua wartawan wanita stesen televisyen itu masing-masing mengalirkan air mata ketika membuat liputan mengenai mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada permit punca polis serbu konsert 'galau' di Kemaman

BACA LAGI: Dakwaan rakyat Malaysia jadi tentera upahan Ukraine, polis tunggu butiran terperinci Kedutaan Rusia

Menurut kenyataan tvOne, mereka yang terkorban ialah Marwan, Alwan Syahmidi dan pemandu, Sunardi mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, dua yang terselamat iaitu Felicia Amelinda Dewi Priatna dan Geigy Yudhistira, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Pemalang.

“Kami sebelumnya berhenti untuk solat Subuh di kawasan rehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Semasa dalam perjalanan, cermin depan menjadi kotor dan perlu dibersihkan secara manual, jadi kami berhenti di bahu jalan. Tiba-tiba, kami dilanggar dari belakang,” kata Felicia ketika menceritakan detik-detik kejadian.

TvOne telah menghantar pasukan ke lokasi kejadian dengan Ketua Pengarang, Lalu Mara Satriawangsa menuju ke Pemalang untuk membantu proses pengurusan jenazah dan memberikan bantuan kepada mangsa yang terselamat.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kemalangan itu, manakala tvOne menggesa orang ramai untuk bertenang dan menunggu maklumat rasmi yang dikemas kini.

“Kami memohon orang ramai untuk mendoakan agar segala amal kebaikan mereka yang terkorban diterima dan dosa mereka diampunkan.

"Kami juga berharap agar para mangsa yang terselamat dan keluarga diberi kekuatan serta sokongan dalam menghadapi saat sukar ini,” menurut kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram